IPOH, 5 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 3,200 liter minyak diesel disyaki diseleweng dan sebuah lori serta pelbagai peralatan dianggarkan bernilai keseluruhan RM102,909 dalam satu serbuan di Kampung Ayer Puteh, Simpang dekat Taiping, semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan di bawah Ops Tiris 4.0 (bersepadu) itu dijalankan kira-kira 6.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping hasil risikan berhubung kegiatan penyelewengan diesel.
Beliau berkata serbuan itu dijalankan hasil risikan berhubung kegiatan penyelewengan minyak diesel yang dipercayai diperoleh daripada pemandu-pemandu lori syarikat pengangkutan yang tidak amanah.
“Hasil pemantauan selama seminggu telah membawa kepada pengenalpastian sebuah lori kargo tiga tan jenis Nissan Diesel yang disyaki digunakan dalam kegiatan ini.
“Siasatan mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan berkapasiti kira-kira 4,500 liter yang diletakkan pada bahagian muatan bagi tujuan mengumpul diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata sindiket itu dipercayai beroperasi pada waktu pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dengan modus operandi mereka melibatkan pembelian serta pemindahan minyak diesel ke dalam tangki yang telah diubah suai.
“Dalam operasi ini, seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun, yang juga pemilik stor telah ditahan bagi membantu siasatan dan lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan melibatkan barang kawalan.
“Satu tindakan kes telah dibuat dengan menyita 3,200 liter cecair disyaki minyak diesel, sebuah lori tiga tan jenis Nissan Diesel, dua unit tangki IBC, tiga unit pam beserta hos, lima belas unit jerry can, lapan belas unit tong drum, satu unit tangki fiber serta dokumen-dokumen berkaitan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
-- BERNAMA