Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Peranan Malaysia sebagai hab semikonduktor strategik menjadi semakin penting apabila ketegangan geopolitik terus mengubah rantaian bekalan global, kata Naib Presiden Korporat Operasi Pemasangan dan Pengujian NAND Micron Technology Amarjit Sandhu.
Beliau berkata ekosistem elektronik Malaysia yang mantap, pendirian berkecuali serta keupayaan teknologi yang kian berkembang meletakkan negara ini sebagai destinasi menarik bagi syarikat semikonduktor yang ingin mempelbagaikan rantaian bekalan masing-masing.
"Memandangkan tekanan geopolitik terus mengubah rantaian bekalan secara global, kami melihat nilai Malaysia sebagai hab semikonduktor menjadi semakin strategik," katanya kepada Bernama.
Sandhu berkata ekosistem elektronik Malaysia yang dibina sejak lima dekad lepas membuktikan daya tahan dalam mendepani pelbagai gangguan global selain terus melonjak dalam rantaian nilai semikonduktor.
Beliau berkata pendirian berkecuali Malaysia dan asas semikonduktor yang kukuh menjadikan negara ini destinasi yang ketara bagi syarikat-syarikat yang ingin mempelbagaikan jejak pengeluaran mereka di seluruh Asia.
Menurut beliau peranan Malaysia kini berkembang melangkaui warisan tradisionalnya dalam bidang pemasangan dan pengujian dengan teknologi memori serta storan termaju yang penting untuk kecerdasan buatan (AI) kini semakin banyak dibangunkan dan dihasilkan dalam negara.
"Fakta bahawa teknologi memori dan storan yang penting kepada AI kini sedang diiktiraf dan dihasilkan di sini selain ekosistem yang mampu membuktikan kredibiliti kelestarian yang kukuh, mencerminkan sebuah negara yang semakin mampu memenuhi apa yang dicari oleh pelanggan global daripada rakan kerjasama rantaian bekalan.
"Gabungan keupayaan dan kredibiliti itulah yang saya fikir menjadikan kedudukan Malaysia dalam rangkaian semikonduktor global lebih kukuh dan mampan berbanding sedekad lepas," katanya.
Mengenai Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia, Sandhu berkata hala tuju jangka panjang Micron seiring dengan cita-cita kerajaan untuk membawa negara ke arah aktiviti semikonduktor yang bernilai lebih tinggi.
"Hala tuju jangka panjang Micron seiring dengan NSS Malaysia terutamanya dalam usaha untuk beralih ke arah keupayaan semikonduktor yang bernilai lebih tinggi.
"Hasrat NSS untuk melonjakkan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor ke arah pembuatan bernilai lebih tinggi dan reka bentuk litar bersepadu (IC) selari dengan hala tuju Micron sendiri dan keselarasan itu membentuk asas yang kukuh bagi kerjasama jangka panjang," katanya.
Sandhu berkata kerjasama Micron dengan agensi-agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), InvestPenang dan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) mencerminkan usaha bersama dalam membangunkan operasi syarikat itu di Malaysia.
"Kerjasama kami dengan MIDA, InvestPenang, TalentCorp dan agensi-agensi lain menunjukkan apa yang dibina oleh Micron di Malaysia sentiasa menjadi usaha bersama dan ia bukanlah sesuatu yang kami bina secara bersendirian," katanya.
Mengenai prospek jangka panjang Malaysia, Sandhu berkata keyakinan Micron disokong oleh beberapa kekuatan struktur termasuk kumpulan bakat kejuruteraan yang kukuh, ekosistem rantaian bekalan semikonduktor yang matang serta infrastruktur yang boleh dipercayai.
"Apa yang memberi kami keyakinan berterusan terhadap Malaysia, bersandarkan kepada faktor-faktor konkrit dan khusus seperti kumpulan bakat kejuruteraan yang kukuh dan berkembang selama berdekad-dekad, ekosistem rantaian bekalan yang telah matang untuk menyokong pembuatan maju serta infrastruktur boleh dipercayai yang juga kini semakin mampan," katanya.
Memandang ke hadapan, Sandhu berkata Asia Tenggara berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam pengeluaran dan inovasi semikonduktor global seiring dengan lonjakan penggunaan AI di seluruh dunia.
"Memandangkan permintaan dipacu AI terus meningkat, kekuatan rantau ini dalam bidang pembuatan, infrastruktur digital dan tenaga bebas karbon mewujudkan peluang untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam pengeluaran serta inovasi semikonduktor global," katanya.
Beliau menambah teknologi memori dan storan kekal menjadi nadi kepada setiap aplikasi AI sekali gus menjadikan rantau ini semakin penting kepada masa depan industri teknologi global.
"Asia Tenggara semakin dilihat bukan sekadar sebagai tempat teknologi dihasilkan tetapi merupakan tempat hala tuju dan masa depannya dibentuk selain kemajuan Malaysia sedekad lepas merupakan sebahagian daripada lembaran penting dalam kisah kejayaan berkenaan," katanya.
-- BERNAMA