DUNIA

Landasan Kereta Api China-Laos Pacu Pembangunan Laos

08/06/2026 02:00 PM

BEIJING, 8 Jun (Bernama-CMG) -- Landasan Kereta Api China-Laos bukan sahaja memendekkan perjalanan antara kedua-dua negara, malah turut membawa manfaat besar kepada rakyat Laos dan memacu pembangunan negara itu.

Perkara itu dinyatakan Presiden Laos Thongloun Sisoulith ketika ditemu bual Kumpulan Media China (CMG), baru-baru ini.

Thongloun berkata beliau masih mengingati kenyataan Presiden China Xi Jinping ketika merasmikan Landasan Kereta Api China-Laos pada 3 Dis 2021 bahawa “mulai saat ini, gunung tidak lagi tinggi, dan jalan tidak lagi panjang.”

Laos merupakan satu-satunya negara pedalaman di Semenanjung Indo-China, dengan wilayah utaranya bersempadan dengan China.

Pembukaan landasan kereta api itu pada 3 Dis 2021 membuka peluang kepada Laos untuk memperluas hubungan perdagangan dan pengangkutan ke laut, sekali gus mengatasi kekangan geografi yang sebelum ini membataskan pembangunan negara berkenaan.

Menurut statistik pihak berkuasa berkaitan, sehingga 1 Jun 2026, perkhidmatan kereta api penumpang di Landasan Kereta Api China-Laos mencatatkan lebih 100,000 perjalanan, dengan lebih 73 juta penumpang menggunakan kemudahan itu.

Jumlah itu termasuk lebih 840,000 pengembara antarabangsa dari lebih 120 negara dan wilayah.

Dalam tempoh sama, jumlah penghantaran kargo melalui landasan berkenaan mencecah lebih 84 juta tan, termasuk lebih 19 juta tan kargo rentas sempadan.

Thongloun mengadakan lawatan rasmi ke China pada awal Jun sempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik China-Laos.

Beliau berkata lawatan itu turut membolehkannya memahami dengan lebih lanjut pembangunan teknologi moden di China.

“China menetapkan teknologi moden, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital sebagai keutamaan dalam pembangunan negara, dan ini merupakan pengalaman baik yang wajar dipelajari oleh Laos,” kata beliau. 

-- BERNAMA-CMG

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565997