AM

Menara Telekomunikasi Di Gua Tempurung Selesai Gangguan Liputan Di Jajaran PLUS

08/06/2026 01:08 PM

GOPENG, 8 Jun (Bernama) -- Tiada lagi kawasan yang mengalami gangguan liputan telekomunikasi sepenuhnya atau blind spot (titik buta) di sepanjang jajaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata masalah itu selesai selepas menara telekomunikasi baharu di kawasan Gua Tempurung mula beroperasi sejak sebulan lepas.

Beliau berkata kawasan Gua Tempurung sebelum ini dikenal pasti sebagai antara lokasi utama yang mengalami masalah gangguan liputan telekomunikasi, khususnya bagi pengguna yang melalui laluan berbukit dari kedua-dua arah utara dan selatan.

“Isu (gangguan telekomunikasi) itu kini berjaya diselesaikan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PLUS Malaysia Berhad, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta agensi berkaitan.

“Kami telah meletakkan Gua Tempurung sebagai satu daripada lokasi titik buta liputan telekomunikasi dalam Jawatankuasa Pemantauan Isu Liputan Telekomunikasi Negeri Perak (JPIL) yang ditubuhkan sejak 2023,” katanya selepas meninjau menara telekomunikasi baharu di Gua Tempurung di sini hari ini.

Mohd Azlan berkata selain Gua Tempurung, kerajaan negeri sebelum ini berjaya menangani isu liputan telekomunikasi di kawasan Terowong Menora yang turut menjadi tumpuan pengguna lebuh raya.

“Titik buta yang betul-betul tidak ada liputan setakat ini saya rasa sudah tidak ada lagi. Yang ada hanyalah kawasan yang mengalami liputan lemah disebabkan faktor muka bumi atau halangan tertentu, namun masih mempunyai sambungan telekomunikasi,” katanya.

Mohd Azlan berkata kerajaan negeri bersama MCMC dan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan terus memantau kualiti liputan bagi memastikan ia memenuhi piawaian ditetapkan serta mampu menampung peningkatan jumlah pengguna lebuh raya.

Beliau berkata usaha penambahbaikan liputan telekomunikasi akan diteruskan dari semasa ke semasa termasuk di kawasan rehat dan rawat yang sering mengalami kesesakan pada musim cuti serta di sepanjang Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat.

“Liputan telekomunikasi kini menjadi satu keperluan penting kepada masyarakat, terutama bagi urusan harian dan panggilan kecemasan ketika berada di lebuh raya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565969