SHAH ALAM, 12 Jun (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) akan menutup sementara permohonan bagi menjalankan aktiviti trans hiking dan hiking compress di semua Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri itu berkuat kuasa 1 Julai ini atas faktor keselamatan.
Menerusi notis yang dikeluarkan Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, mana-mana pihak yang melanggar arahan berkenaan boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 47 Enakmen Pemakaian Akta Perhutanan Negara 1985.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, notis berkenaan tidak menyatakan tempoh pelaksanaan penutupan sementara itu.
-- BERNAMA