KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan supaya pemimpin agama menangani maklumat palsu dipacu kecerdasan buatan (AI), yang diperoleh golongan muda pada skala dan kepantasan yang tidak mampu diatasi oleh khutbah.
Baginda turut memberikan amaran, bahawa ‘ceramah’ yang dipacu algoritma kini kelihatan lebih meyakinkan berbanding apa yang disampaikan pihak berkuasa agama.
Pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga di sini hari ini, baginda bertitah perjuangan untuk menarik penglibatan belia semakin terjerumus ke arah ‘medan asing’ dan dalam ‘bahasa yang kita seakan terlalu lambat untuk kuasai’
Baginda menegaskan ramai golongan muda kini yang sudah terhimpit dengan kecelaruan iklim, konflik dan ketidaktentuan ekonomi, turut berdepan kemelut mencari arah, jati diri dan kepercayaan.
Oleh itu, sambil merujuk bahawa hampir 1.8 bilion belia yang menjadi generasi terbesar dalam sejarah, dengan Muslim menjadi golongan muda terbesar mengikut komuniti agama, Sultan Perak bertitah institusi perlu berhenti bercakap mengenai belia sebagai generasi masa depan, sebaliknya mengiktiraf mereka sebagai golongan yang sudah pun tersusun, mula menggarap dan membentuk wacana baharu awam.
“Sudah banyak masa digunakan untuk bercakap mengenai golongan muda dan terlalu sikit kita mendengar daripada mereka serta berkongsi kuasa dengan mereka. Frasa bahawa mereka sebagai golongan muda pembina keamanan, yang digunakan kini adalah tepat dan ia seharusnya menyedarkan kita. Mereka meminta supaya dilayan sebagai pembina bersama, bukan hanya sebagai perunding.
“Beta berharap sidang ini yang menghimpunkan pemimpin agama yang dipilih khusus, supaya merapatkan jurang ini,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah memperkasakan golongan muda dan membabitkan mereka sebagai rakan kongsi adalah suatu langkah penting kerana golongan ekstremis dan guru agama kini bersaing untuk meraih hati kelompok belia yang sama, ketika ekstremis ini tidak mengambil pendekatan manifesto politik hambar.
“Dia muncul dengan berselindung di sebalik kitab suci, memetik ayat-ayat yang sama seperti yang kita gunakan, membentangkan keinginan sama untuk mencari maksud dan arah, kubah maruah yang sama, namun dengan kemahiran tinggi, mereka mengalihkannya daripada sifat ihsan kepada rasa tidak puas hati.
“Dia menawarkan rasa kebersamaan yang hadir daripada imaginasi musuh. Sebaliknya, jika apa yang kita tawarkan sebagai balasan hanya khutbah yang dianggap asing bagi golongan muda, dalam bahasa yang sudah tidak mereka tuturkan, disampaikan di dalam bangunan yang tidak lagi mereka kunjungi, maka kita sebenarnya melangkah ke medan tempur iPhone dengan sekadar bersenjata manuskrip,” titah baginda.
Mengulas mengenai peranan agama dalam era digital, Sultan Nazrin memetik dikri Magnirica Humanitas oleh Pope Leo XIV pada bulan lepas, yang menyatakan dalam memelihara manusiawi dalam era AI, paderi dan imam boleh bercakap dengan satu suara, iaitu ‘paparan skrin boleh menyebarkan maklumat, tetapi hanya manusia yang dapat memberikan tafsiran’.
Beliau bertitah berdasarkan kaji selidik Edelman Trust Barometer 2026, hanya tujuh daripada 10 orang di dunia ini yang tidak sedia atau keberatan untuk mempercayai seseorang daripada kepercayaan atau nilai yang berbeza, manakala hanya seorang daripada tiga yang diselidik percaya, generasi akan datang akan menjadi lebih baik.
“Ketika inilah kepemimpinan agama mempunyai peranan amat penting. Agama mengajar kita untuk melihat melangkaui diri. Ia mengingatkan kita bahawa manusiawi bukan sekadar pengguna, pesaing, atau avatar dalam khalayak digital, tetapi insan yang mempunyai maruah dan harga diri,” titah baginda.
Untuk mendekati belia, Sultan Nazrin bertitah pemimpin agama perlu mempunyai latar belakang yang kukuh serta responsif kerana masyarakat memerlukan hikmah kebijaksanaan, disiplin dan moral yang tinggi seperti yang sudah diwarisi secara tradisi.
“Responsif kerana setiap generasi berdepan dengan realiti baharu dan bertanyakan soalan baharu. Tugasnya bukan untuk mencampuradukkan kepercayaan demi meraih jiwa belia atau meninggalkan hikmah tradisi, tetapi menampilkan kebijaksanaan ini dalam dialog yang segar dan relevan bersandarkan dunia masa kini,” titah baginda.
Turut hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia (MWL) Datuk Seri Sheikh Dr Mohammad Abdul Kareem Al-Issa, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Sidang kemuncak itu dianjurkan bersama oleh JAKIM dan Liga Muslim Dunia, menghimpunkan kira-kira 1,500 sarjana, pembuat dasar dan pemimpin agama dari 31 negara, bertemakan “Religious Leaders and Youth Empowerment: Advancing Coexistence and Social Harmony”.
-- BERNAMA