ISKANDAR PUTERI, 7 Jun (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lepas sebagai satu 'sandiwara politik'.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata sebaliknya tindakan itu diambil demi mengembalikan mandat mutlak kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang stabil, berbanding terus kekal di singgahsana kuasa demi keselesaan peribadi.
Menjelaskan situasi itu, beliau berkata proses pembubaran DUN ialah perkara yang tidak dapat dielakkan dalam sistem demokrasi sama ada cepat atau lambat.
Malah, langkah serupa turut diambil oleh pentadbiran negeri lain termasuk Negeri Sembilan sejurus selepas itu, sekali gus membuktikan tindakan berkenaan bukan agenda politik sebelah pihak semata-mata.
"Rakyat Johor ialah hakim tertinggi dalam demokrasi. Mereka berhak menentukan kerajaan yang mereka mahu, memilih kerajaan yang mampu memberi kestabilan, serta menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai menabur janji,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN bagi Pilihan Raya Negeri Johor ke-16, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC Tan Sri Dr SA Vigneswaran dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr J Loga Bala Mohan.
DUN Johor dibubar pada 1 Jun lepas selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Sementara itu, beliau turut menempelak pihak pembangkang yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kononnya UMNO dan BN akan mati dan terkubur di bumi Johor ini.
Presiden UMNO itu berkata ironinya, parti jalanan tersebut yang mendabik dada dan berangan mahu menggantikan parti terbesar orang Melayu, kini bergelut mencari arah.
“Yang mahu menjadikan Johor tapak kuasa kini sibuk mempertahankan sisa pengaruh. Yang dahulu mendabik dada mahu menumbangkan kita, hari ini berdepan keretakan sesama mereka.
“Ingatlah, Johor bukan tempat mencuba nasib. Johor bukan tempat menumpang pengaruh. Johor bukan medan eksperimen politik dendam. Parti yang lahir daripada pengkhianatan jangan bercakap soal prinsip,” katanya.
-- BERNAMA