ISKANDAR PUTERI, 7 Jun (Bernama) -- Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Tan Sri Noh Omar hari ini mengumumkan melepaskan jawatannya dalam parti itu dan kembali menyertai UMNO serta Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata tindakan itu sekali gus menyaksikan keahliannya dalam Bersatu terbatal dan tidak perlu lagi mengemukakan sebarang surat rasmi kepada pimpinan parti.
Noh berkata beliau terbuka untuk kembali menyertai UMNO selepas melihat prinsip UMNO Johor yang tegas mahu bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang seperti yang ditekankan dalam ucapan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
"Saya amat menghormati pimpinan dan juga prinsip UMNO Johor," katanya semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity, di sini hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Onn Hafiz selaku Pengerusi BN Johor, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC Tan Sri Dr SA Vigneswaran dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr J Loga Bala Mohan.
Pada Julai 2024, Noh yang pada ketika itu bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor mengumumkan menyertai Bersatu selepas dipecat UMNO pada 2023 kerana melanggar disiplin parti pada Pilihan Raya Umum ke-15.
-- BERNAMA