AM

Kemudahan Empat Rumah Pangsa Di DUN Kesidang Dinaik Taraf Libat Peruntukan RM1 Juta

07/06/2026 07:30 PM

MELAKA, 7 Jun (Bernama) -- Beberapa kemudahan asas seperti sistem pam, perparitan dan bumbung di empat rumah pangsa dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang dinaik taraf melibatkan peruntukan RM1 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata ia melibatkan tiga rumah pangsa di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan satu di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), kesemuanya berusia lebih 30 tahun.

Seah yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata penambahbaikan itu bertujuan memberi keselesaan kepada penghuni terlibat menerusi peruntukan yang disalurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia.

"Kita baru dapat peruntukan daripada KPKT sebanyak RM150,000 untuk menukar sistem pam sedia ada di Rumah Pangsa Taman Merdeka melibatkan sembilan blok dengan jumlah 300 rumah yang akan mendapat manfaat khususnya memastikan air dapat disalurkan dengan baik tanpa gangguan bekalan.

"Selain itu, peruntukan RM500,000 untuk menukar bumbung di satu daripada blok di Rumah Pangsa Pegaga manakala kita juga dapat tukar semua paip di satu daripada blok di Rumah Pangsa Malim Jaya melibatkan peruntukan sebanyak RM150,000," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Mesra Perpaduan @ KRT DUN Kesidang sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kesidang di Taman Melaka Baru 3, di sini hari ini, yang turut dihadiri Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron.

Seah berkata selain itu, kerja-kerja menaik taraf pam dan sistem retikulasi juga akan dilaksanakan di Rumah Pangsa Taman Cheng Mutiara melibatkan peruntukan RM120,000.

Beliau berkata lebih 10 kemudahan sukan dalam DUN Kesidang juga dinaik taraf termasuk padang di Taman Datuk Thamby Chik Karim dan Taman Merdeka Jaya melibatkan peruntukan lebih RM200,000.

Terdahulu, katanya sebanyak 57 program utama akan dilaksanakan melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) sepanjang penganjuran WRUR DUN Kesidang bermula hari ini hingga 13 Jun.

"Program yang dianjurkan melibatkan aspek kebajikan rakyat, ziarah komuniti dan pendidikan termasuk penyampaian anugerah pelajar terbaik melibatkan 100 penerima dari 12 sekolah dalam DUN Kesidang.

"Selain itu, pemeriksaan kesihatan percuma juga dianjurkan di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kesidang pada 11 Jun manakala program melibatkan usahawan tempatan dan agensi keusahawanan serta bank akan diadakan di Malim Uptown pada 13 dan 14 Jun," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565756