SUKAN

GP Hungary: Hakim Danish Terlibat Kemalangan, Gagal Tamat Perlumbaan

07/06/2026 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Hasrat pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli untuk mengulangi pencapaian meraih podium minggu lepas tidak kesampaian apabila terpaksa menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Hungary lebih awal selepas terlibat dalam kemalangan seawal pusingan pertama hari ini.

Pada perlumbaan sulung di Litar Balaton Park, pelumba kelahiran Terengganu itu memulakan saingan dari petak ke-19 selepas menamatkan sesi kelayakan pertama (Q1) di kedudukan kelima dengan masa terbaik 1 minit 46.949 saat.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi apabila terlibat dalam kemalangan selepas berlaku sentuhan dengan pelumba CODE Motorsports, Ruche Moodley sekali gus menyaksikan perlumbaannya berakhir lebih awal.

Perlumbaan di Hungary dimenangi pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles manakala wakil LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP, David Almansa yang bermula dari petak utama menamatkan aksi di tempat kedua.

Pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565770