SUKAN

Abrienda Intai Rekod Kebangsaan Di EPC 2026 Sebagai Persiapan Hadapi Kejohanan Dunia

07/06/2026 12:54 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 7 Jun (Bernama) -- Atlet angkat berat wanita negara Abrienda Chan meletakkan sasaran untuk mencipta rekod baharu kebangsaan dalam kategori junior bawah 57 kilogram (kg) pada Kejohanan Angkat Berat Eagll Classic (EPC) 2026 hujung bulan ini.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 20 tahun, yang sebelum ini mendominasi kategori subjunior bawah 52kg dan masih memegang rekod kebangsaan bagi ketiga-tiga disiplin angkatan serta jumlah keseluruhan dalam kategori itu, melihat pertandingan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 19 dan 20 Jun ini sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi dua kejohanan dunia utama tahun depan.

“Tahun ini adalah fasa persiapan bagi saya dalam usaha mencapai sasaran pada tahun depan. Saya akan cuba meningkatkan jumlah angkatan squat, bench press dan deadlift setinggi mungkin sambil memberi tumpuan kepada aspek teknik.

“Dalam sukan angkat berat, teknik memainkan peranan yang sangat penting. Jadi, tahun ini saya memberi tumpuan kepada penambahbaikan teknik dan meningkatkan jumlah angkatan secara berperingkat bagi membolehkan saya mencapai apa yang saya sasarkan tahun depan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abrienda berkata beliau merancang untuk menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia Bench Press Classic & Equipped 2027 di Istanbul, Turkiye serta Kejohanan Angkat Berat Dunia Classic Sub-Junior dan Junior 2027 di Haining, China.

Selepas beralih daripada kategori subjunior bawah 52kg kepada kategori junior bawah 57kg tahun lepas, juara Piala SBD 2025 bagi kategori wanita klasik junior bawah 57kg di Korea Selatan berkenaan berkata pertukaran itu telah memberikan peningkatan ketara dari segi kekuatan dan prestasi.

“Perbezaan paling besar ialah saya berasa lebih kuat. Jumlah angkatan saya semakin meningkat dan keadaan fizikal saya jauh lebih baik berbanding ketika bertanding dalam kategori 52kg,” katanya.

Pada EPC 2026, Abrienda menyasarkan angkatan squat seberat 135.5kg bagi mengatasi rekod junior kebangsaan semasa, iaitu 135kg. Rekod peribadi beliau bagi angkatan itu ialah 125kg.

Beliau turut berazam menjadi atlet junior wanita Malaysia pertama dalam kategori bawah 57kg yang berjaya melakukan angkatan deadlift melebihi 150kg, dengan sasaran 150.5kg. Rekod peribadinya ketika ini ialah 142.5kg.

Bagi acara bench press, Abrienda telah pun mengatasi rekod junior kebangsaan sedia ada, iaitu 67.5kg menerusi rekod peribadi 75kg dan kini berusaha untuk terus meningkatkan jumlah keseluruhan angkatannya.

Pemenang pingat emas Kejohanan Angkat Berat Klasik Asia 2024 itu menjalani latihan lima kali seminggu, dengan sesi latihan paling mencabar mencecah sehingga empat jam sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang serta merealisasikan impian jangka panjangnya di peringkat antarabangsa.

Abrienda, yang menduduki ranking ke-12 dunia dalam kategori subjunior bawah 52kg pada 2024 berkata matlamat utamanya adalah untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik dunia bagi kategori junior bawah 57kg.

“Saya menyasarkan gelaran dunia dalam apa jua bentuk, sama ada berada dalam kelompok tiga terbaik dunia, memecahkan rekod dunia atau mencipta satu lagi rekod antarabangsa. Memandangkan saya sudah bergelar juara Asia, sasaran seterusnya ialah untuk menjadi antara yang terbaik di dunia,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Atlet kelahiran Sarawak itu berkata beliau berharap dapat beraksi dalam kategori terbuka pada masa hadapan dan mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan atlet elit angkat berat dunia.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565599