JOHOR BAHRU, 7 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp Malaysia hari ini melancarkan Program Sokongan Industri dan Perniagaan Rakyat (SINAR) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata Program SINAR menawarkan bantuan kewangan berjumlah RM205 juta melalui empat inisiatif baharu kepada PMKS di seluruh negara bagi mengembangkan perniagaan.
“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan tidak boleh membiarkan PMKS berdepan cabaran ini bersendirian.
"Melalui SINAR, kita mahu memastikan usahawan mempunyai akses kepada pembiayaan dan sokongan yang diperlukan untuk terus bertahan, berkembang dan mencipta peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Mengulas lanjut, beliau berkata SINAR merupakan program baharu KUSKOP melalui SME Corp Malaysia yang merangkumi lima inisiatif baharu melibatkan bantuan kewangan.
Menurutnya, tiga program pembiayaan ditawarkan dengan jumlah pembiayaan sehingga RM5 juta pada kadar keuntungan atau faedah antara tiga hingga lima peratus setahun melalui kerjasama Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), microLEAP PLT dan Funding Societies.
"Selain pembiayaan, Program Penskalaan Perniagaan Inklusif pula merupakan program pembangunan kapasiti yang menyediakan geran sehingga 90 peratus kepada PKS.
"Ini bagi mengintegrasikan komuniti inklusif dalam rantaian bekalan mereka serta membantu perusahaan mikro meningkatkan kemahiran berkaitan bagi transformasi perniagaan ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Bagi memudahkan akses kepada inisiatif ini, beliau berkata PMKS yang memohon pembiayaan hanya perlu mendapatkan Status PMKS, iaitu pensijilan rasmi yang mengesahkan sesebuah perniagaan memenuhi definisi PMKS.
Menurutnya, diskaun sebanyak 50 peratus bagi permohonan Status PMKS turut ditawarkan bermula bulan ini hingga 31 Ogos depan.
-- BERNAMA