JENAYAH & MAHKAMAH

Pejabat MCA Yong Peng Terbakar 80 Peratus - Bomba

07/06/2026 12:23 AM

BATU PAHAT, 6 Jun (Bernama) -- Pejabat MCA Yong Peng di sebuah bangunan pejabat jenis separuh kekal di Jalan Nipah di sini musnah kira-kira 80 peratus dalam kejadian kebakaran malam ini.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Amier Syah Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.28 malam.

Beliau berkata susulan itu, dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng serta BBP Ayer Hitam digegaskan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba Pasukan Keluaran Operasi (PKO), didapati berlaku kebakaran melibatkan pejabat berukuran 100 x 70 x 20 kaki. Kebakaran melibatkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan struktur bangunan,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Amier Syah berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 9.56 malam.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon ketika dihubungi Bernama berkata pejabat berkenaan berfungsi sebagai pusat aktiviti termasuk kelas tarian dan karaoke yang diadakan sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

“Saya menerima panggilan kira-kira 8.30 malam memaklumkan berlaku kebakaran yang turut memusnahkan unit sistem siar raya (PA system) dan pendingin hawa baharu,” katanya.

Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565529