DUNIA

Jamaica Alami Gangguan Bekalan Elektrik Seluruh Pulau

06/06/2026 02:27 PM

MEXICO CITY, 6 Jun (Bernama-Xinhua) -- Gangguan bekalan elektrik di seluruh pulau melanda Jamaica pada Jumaat malam berikutan kegagalan sistem, menurut pegawai negara itu dan syarikat utiliti kuasa, lapor Xinhua.

"Gangguan bekalan elektrik di seluruh pulau," kata Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pengangkutan Daryl Vaz dalam satu hantaran di platform X, sambil menambah bahawa beliau sedang menunggu maklumat terkini daripada presiden Syarikat Perkhidmatan Awam Jamaica (JPS), yang sedang dalam perjalanan ke pusat kecemasan utiliti berkenaan.

Media tempatan melaporkan gangguan berlaku di beberapa paroki, menjejaskan bekalan elektrik di pelbagai kawasan.

Sejurus selepas hantaran Vaz, JPS menyatakan bahawa ia sedang mengambil langkah untuk memulihkan bekalan kuasa kepada pengguna "secara berperingkat dan mengikut kaedah yang ditetapkan."

JPS tidak memberikan butiran lanjut dengan segera mengenai punca kegagalan sistem tersebut mahupun tempoh masa untuk pemulihan sepenuhnya.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565341