PASARAN

Bursa Malaysia Akhiri Sesi Dagangan Pagi Lebih Tinggi

03/06/2026 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih kukuh, disokong oleh belian semasa harga rendah yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, terutama dalam sektor produk dan perkhidmatan pengguna dan perindustrian.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.37 mata atau 0.49 peratus kepada 1,691.44 daripada 1,683.07 ketika ditutup pada Jumaat.

Pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti umum Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong dan cuti gantian Hari Wesak.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka meningkat 4.06 mata kepada 1,687.13 diniagakan antara 1,679.12 dan 1,693.09 semasa sesi pagi.

Walaupun FBM KLCI meningkat, sentimen pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 622 berbanding 467 manakala 504 kaunter tidak berubah, 1,010 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 2.26 bilion saham bernilai RM2.28 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, berikutan harga minyak terus kekal di bawah paras US$100 setong, sentimen itu dijangka memberi isyarat baik kepada AirAsia X Bhd dan Capital A Bhd, yang berpotensi mencatatkan kenaikan harga saham yang lebih tinggi. 

“Peniaga juga boleh mula membeli saham syarikat teknologi 3REN Bhd dan konglomerat infrastruktur Ranhill Utilities Bhd susulan penyusutan harga saham kedua-dua syarikat itu baru-baru ini.

“3REN berperanan sebagai proksi untuk mendapat manfaat daripada kemajuan kecerdasan buatan oleh Intel manakala Ranhill dijangka meraih manfaat daripada pembangunan pusat data di Johor,” menurutnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM10.66, Public Bank naik lima sen kepada RM4.76 manakala Tenaga Nasional susut enam sen kepada RM14.22, CIMB rendah lima sen kepada RM7.43 dan IHH susut 15 sen kepada RM8.86.

Antara saham aktif, Nationgate rendah dua sen kepada 86 sen, Bus Cap naik 11.5 sen kepada 34.5 sen, Zetrix menokok setengah sen kepada 81 sen, Top Glove meningkat 5.5 sen kepada 86 sen dan GIIB Holdings menambah 2.5 sen kepada 42.5 sen.

Kaunter paling untung termasuk Nestle, yang melonjak RM2.98 kepada RM93.98 manakala Petronas Dagangan naik RM1.04 kepada RM18.78 dan Malayan Cement meningkat 48 sen kepada RM7.02. Ajinomoto naik 36 sen kepada RM14.22 dan Hong Leong Bank menokok 34 sen kepada RM21.22.

Bagi saham paling rugi, United Plantation susut 88 sen kepada RM30.20, Fraser and Neave rendah 72 sen kepada RM27.58, Kuala Lumpur Kepong menyusut 52 sen kepada RM19.80, Batu Kawan berkurangan 42 sen kepada RM19.54 dan Hong Leong Industries rendah 50 sen kepada RM18.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 28.26 mata kepada 12,608.38, Indeks FBM Top 100 naik 33.39 mata kepada 12,450.93 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 26.19 mata kepada 12,630.27.

Sementara itu, Indeks FBM Mid 70 susut 70.47 mata kepada 18,413.86 dan Indeks FBM ACE berkurangan 43.68 mata kepada 4,720.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 72.06 mata kepada 19,596.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.26 mata kepada 201.08 dan Indeks Tenaga menokok 2.61 mata kepada 781.36 manakala Indeks Perladangan susut 35.27 mata kepada 8,464.27.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2564164