Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil disebabkan pelabur menilai perkembangan di Asia Barat, pengumuman data ekonomi utama dari Amerika Syarikat (AS) dan China dan hala tuju aliran dana asing.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata firma itu menjangkakan indeks penanda aras akan diniagakan dalam julat 1,690–1,710 untuk minggu depan.
Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan FBM KLCI diniagakan kebanyakannya lebih tinggi seiring dengan pasaran tunai.
Pada asas mingguan, kontrak Jun 2026 dan Disember 2026 meningkat 8.5 mata masing-masing kepada 1,688.5 dan 1,673.0, manakala kontrak September 2026 naik sembilan mata lebih kepada 1,671.0 dan kontrak Disember 2026 pada 1,691.0.
Sementara itu, jumlah dagangan susut kepada 38,150 lot daripada 188,830 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 32,257 kontrak daripada 53,784 kontrak sebelumnya.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 10.36 mata kepada 1,693.43 daripada 1,683.07 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA