AM

Fadillah Zahir Ucapan Tahniah Sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong

01/06/2026 12:25 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merafak sembah dan menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hari ini.

Fadillah menerusi hantaran di Facebook berkata beliau bersama seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Seri Paduka Baginda dan seluruh kerabat diraja dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.

“Semoga Duli Tuanku terus kekal qarar bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kemuliaan serta memayungi rakyat dan memimpin negara dengan penuh hikmah, adil dan bijaksana,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi.

“Patik dan seisi keluarga dengan penuh takzim menjunjung kasih dan mendoakan agar pemerintahan Kebawah Duli Tuanku sentiasa diberkati Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Beliau turut mendoakan agar Seri Paduka Baginda dikurniakan keafiatan yang berpanjangan serta terus bersemayam di atas takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan dan kebijaksanaan, dalam memayungi rakyat serta negara tercinta.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2563446