KAJANG, 26 Mei (Bernama) -- olis mengesahkan balu kepada bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Naimah Khalid serta dua anak lelakinya kini berada di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata pihak polis telah berusaha menghubungi Naimah sejak siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan dimulakan awal tahun ini.
Menurut beliau, semakan mendapati Naimah bersama dua anaknya Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin tidak berada dalam negara sejak siasatan dijalankan.
“Setakat ini, polis telah selesai merakam percakapan 17 individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, hari ini.
Beliau berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan pihaknya kini menunggu maklum balas serta arahan lanjut.
Media sebelum ini melaporkan Naimah didakwa terlibat dalam plot untuk menjatuhkan kerajaan yang membabitkan agensi media antarabangsa serta individu berpengaruh, namun beliau menafikan dakwaan tersebut.
Naimah dilaporkan berkata laporan polis berkenaan dibuat oleh bekas pekerja pasukannya yang tidak berpuas hati selepas diberhentikan kerja.
Pada bulan lepas, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Amir dan Amin selepas kedua-duanya gagal hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan.
-- BERNAMA