JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Warga Emas Tersilap Tekan Minyak, Kereta Mewah Rempuh Lobi Hotel

07/06/2026 04:16 PM

GEORGE TOWN, 7 Jun (Bernama) -- Kesilapan seorang wanita warga emas menekan pedal minyak menyebabkan kereta mewah Porsche dipandunya merempuh lobi sebuah hotel di Persiaran Gurney di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata wanita tempatan berusia 61 tahun itu membuat laporan pada 12.05 tengah hari dan siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira 11.15 pagi.

“Kejadian berlaku ketika warga emas itu mahu pulang selepas melawat ahli keluarganya.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, beberapa keping gambar sebuah kereta Porsche kelabu berada di dalam lobi sebuah hotel selepas merempuh kawasan itu tular di media sosial.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565690