DUNIA

Kabinet Palestin Beri Amaran Keadaan Kemanusiaan Di Gaza Semakin Meruncing

24/05/2026 11:08 PM

RAMALLAH, 24 Mei (Bernama-WAFA) -- Kabinet Palestin memberi amaran mengenai keadaan kemanusiaan yang serius dan semakin meruncing di Semenanjung Gaza susulan pengurangan secara sengaja kemasukan bantuan makanan serta sekatan dikenakan pendudukan Israel terhadap kemasukan bahan api dan bekalan perubatan.

Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), Kabinet Palestin menegaskan bahawa serangan Israel di Semenanjung Gaza yang berterusan serta operasi evakuasi paksa berterusan memaksa ribuan keluarga meninggalkan kediaman mereka dalam keadaan sukar tanpa keperluan asas minimum untuk meneruskan kehidupan.

Kabinet itu menggesa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta pihak pengantara dan penjamin supaya mengambil tindakan segera dan memberi tekanan kepada pihak berkuasa pendudukan agar membuka semula pintu sempadan sepenuhnya dan secara mampan, memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan, perubatan dan bahan api tanpa sekatan, selain menghentikan dasar kebuluran dan evakuasi paksa terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Kabinet itu turut memaklumkan bahawa keganasan peneroka Israel di Tebing Barat semakin memuncak dengan sebanyak 42 serangan direkodkan dalam tempoh lima hari lepas, menyasarkan 12 kampung Palestin.

Menurutnya, serangan itu termasuk pembakaran, vandalisme terhadap harta benda serta pembinaan pos penempatan baharu di tanah milik Jurish, selatan Wilayah Pentadbiran Nablus.

-- BERNAMA-WAFA

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561101