DUNIA

GSF 2.0: Sembilan Warga Indonesia Dalam Flotila Bantuan Gaza Selamat Pulang

24/05/2026 07:49 PM

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 24 Mei (Bernama) -- Indonesia mengesahkan kesemua sembilan rakyatnya yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza telah pulang ke tanah air pada Ahad.

Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan memaklumkan mereka tiba di Jakarta pada 3.30 petang waktu tempatan selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Istanbul, Turkiye.

Menteri Luar Sugiono, yang menyambut kepulangan kumpulan itu, berkata pembebasan dan penghantaran pulang mereka berjaya dilaksanakan hasil usaha diplomatik dan konsular intensif kerajaan Indonesia dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk GSF dan Global Peace Convoy Indonesia.

Kapal yang membawa sukarelawan misi kemanusiaan GSF 2.0 itu dipintas tentera Israel berhampiran perairan Cyprus pada 18 Mei. Mereka kemudian ditahan di bandar pelabuhan Ashdod, Israel sebelum dibebaskan pada 21 Mei.

Menteri itu turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada kerajaan Turkiye kerana memudahkan proses pembebasan serta membantu rakyat Indonesia sepanjang berada di Turkiye.

-- BERNAMA
 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561045