IPOH, 26 Mei (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan kira-kira RM9.6 juta bagi pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Asnaf 2026, melibatkan sasaran penyertaan 919 peserta dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan golongan berkenaan.
Menurut MAIPk dalam satu kenyataan, majlis menandatangani perjanjian dengan penyedia latihan program telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Syamsul Hazeman Md Salleh dalam satu majlis yang berlangsung semalam.
Kenyataan itu memaklumkan kerjasama strategik antara MAIPk dan penyedia latihan dalam memperkasakan pembangunan modal insan asnaf melalui pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti, berdaya saing serta selaras dengan keperluan industri semasa.
"Sesi menandatangani perjanjian melibatkan tiga penyedia latihan iaitu SRC Resources Sdn Bhd, Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara.
"Selain itu, majlis turut menyampaikan surat lantikan kepada sepuluh penyedia latihan iaitu Vocational Education Training Academy, IJN University College, UCSI Hospital, UOA Academy, Vision University College, NIATS Oil, Gas and Marine Academy, AMKTC Academy, Haaza Centre Of Excellence, High Skill Technology Sdn Bhd dan Kolej Teknikal Sri Ayu," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan asnaf untuk meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan serta membina masa depan yang lebih baik, mampan dan sejahtera.
-- BERNAMA