JASIN, 23 Mei (Bernama) -- Teknologi terkini termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian bakal menjadi tarikan utama Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2026 (MAHA 2026) yang bakal berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini.
Ketua Sekretariat MAHA 2026 Datuk Dr Mohd Haniff Hassan berkata acara dwitahunan itu pada kali ini memberi penekanan kepada penggunaan teknologi moden dan inovasi pertanian bagi menarik lebih ramai golongan belia menceburi sektor agro makanan.
"Kelainan MAHA kali ini ialah kita mahu menggalakkan penglibatan belia dalam bidang pertanian selain memperkenalkan teknologi AI dan teknologi terkini berkaitan sektor pertanian itu sendiri.
"Jadi antara teknologi yang akan diketengahkan termasuk penggunaan AI dalam kaedah penanaman, pembenihan, pembajaan serta pengurusan pertanian pintar yang mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan industri," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir ke Majlis Perasmian Road to MAHA 2026 Zon Selatan yang disempurnakan oleh Setiausaha Politik Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Yuhaizad Abdullah.
Mohd Haniff berkata MAHA 20206 yang dijadual berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu turut dijangka mencatatkan nilai memorandum persefahaman (MoU) perdagangan mencecah RM8 bilion sepanjang ekspo berlangsung.
"Penganjuran kali ini turut menyasarkan kehadiran 4 juta pengunjung sepanjang tempoh acara berlangsung selain potensi padanan perniagaan dan transaksi urus niaga mencecah RM58 juta.
"Edisi kali ini juga dijangka menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer termasuk penyertaan daripada negara luar seperti Kanada dan Hungary yang bakal membawa teknologi baharu serta produk hiliran pertanian negara masing-masing" katanya.
Katanya, penyertaan antarabangsa itu akan membuka peluang padanan perniagaan dan memperkenalkan produk hiliran tempatan ke pasaran global.
Mengulas mengenai penganjuran Road to MAHA 2026 Zon Selatan, Mohd Haniff berkata program itu menghimpunkan antara 30 hingga 35 usahawan industri asas tani di bawah jabatan dan agensi KPKM selain lapan usahawan program Jualan Agro MADANI.
Beliau berkata program berkenaan turut melibatkan 11 penyertaan pameran dan ekspo daripada jabatan serta agensi kerajaan dengan sasaran kehadiran antara 5,000 hingga 7,000 pengunjung dari Melaka dan utara Johor.
“Antara pengisian menarik ialah demonstrasi berasaskan nanas seperti penghasilan kertas dan benang daripada nanas yang merupakan inovasi baharu dalam industri agro.
"Kita juga mengadakan demonstrasi pembuatan baja dan biorepellent selain kempen galakan makan buah-buahan tempatan," katanya.
-- BERNAMA