RAWANG, 22 Mei (Bernama) -- Pembinaan rangkaian hospital di bawah kumpulan Selgate Healthcare (SELGATE) ialah strategi kreatif berteraskan 'entrepreneur state' bagi memperkukuh ekosistem kesihatan awam yang inklusif dan mampan di Selangor.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembukaan rasmi Selgate Specialist Hospital Rawang (SSH Rawang) hari ini mampu menampung permintaan terhadap perkhidmatan pakar di koridor utara Selangor yang sedang mencatat pertumbuhan pesat populasi.
Beliau berkata hospital berkapasiti 224 katil itu bukan sekadar memenuhi keperluan rawatan kesihatan swasta, malah menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperluas manfaat kesihatan kepada rakyat.
“Hospital seperti Selgate ini akan melengkapi keperluan, kita tidak hanya menumpu kepada faktor mendapatkan keuntungan daripada aktiviti kesihatan ini ataupun perniagaan kesihatan, tetapi juga ia dipulangkan balik kepada rakyat melalui perkhidmatan yang disediakan,” katanya ketika berucap merasmikan SSH Rawang, di sini hari ini.
Beliau berkata keuntungan yang dijana daripada sektor perubatan swasta itu akan disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai program kebajikan kesihatan sedia ada seperti Iltizam Selangor Sihat (ISS) dan Selangor Saring.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Selangor kini menjadi peneraju dalam merealisasikan 'Ekonomi Penjagaan' yang kini telah mempunyai ekosistem lengkap di peringkat negeri.
“Selangor satu-satunya negeri yang sudah mempunyai dan membangunkan ekosistem Ekonomi Penjagaan yang sebelum ini diimpikan hanya berada atas kertas,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan, Amirudin berkata SELGATE menyasarkan pembukaan hospital kedua di Sepang pada September 2026, diikuti Selgate Specialist Hospital Setia Alam pada Februari 2027 bagi memperkukuh akses kesihatan berkualiti di seluruh negeri.
Hospital berkenaan juga dijadual menyokong pembangunan Integrated Cardiac Services bersama UiTM Sungai Buloh menjelang akhir 2026 menerusi kemudahan canggih, termasuk Cath Lab untuk rawatan jantung yang lebih pantas.
-- BERNAMA