NEW YORK, 22 Mei (Bernama-WAFA) -- Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) memberi amaran sistem penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza kini semakin kritikal susulan kekurangan bekalan penting, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Dalam taklimat hariannya yang dikeluarkan pada Khamis, OCHA berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendokumentasikan 22 serangan terhadap kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Gaza, yang mengakibatkan korban atau menjejaskan pengangkutan perubatan serta kemudahan kesihatan.
Pejabat itu menambah rakan kemanusiaan melaporkan kesukaran berterusan untuk mendapatkan akses kepada air, dengan menyatakan tiga daripada setiap empat keluarga kini bergantung kepada bekalan air yang dihantar menggunakan trak.
Pertubuhan bantuan ketika ini mengagihkan kira-kira 24,000 meter padu air setiap hari melalui kira-kira 2,000 pusat pengagihan.
Bagaimanapun, OCHA memberi amaran bahawa operasi penghantaran air sangat bergantung kepada penjana dan jentera yang berisiko rosak akibat kekurangan bahan penyelenggaraan dan pembaikan.
Secara berasingan, WHO berkata dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, lebih satu pertiga permohonan permit pesakit untuk mendapatkan rawatan perubatan di Baitulmuqaddis Timur sama ada ditolak atau ditangguhkan.
Pertubuhan itu memaklumkan kadar kelulusan berkenaan jauh lebih rendah berbanding sebelum perang bermula pada Oktober 2023, apabila lebih dua pertiga permohonan seumpama itu diluluskan.
-- BERNAMA-WAFA