RENCANA

Analisis: Onsa Untuk Tangani Ketagihan Kanak-kanak Pada Media Sosial

20/05/2026 12:31 PM
Daripada Nina Muslim

Kanak-kanak bawah umur 16 tahun di Malaysia berkemungkinan tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial dalam masa terdekat apabila peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 yang mengehadkan akses golongan bawah umur ke pelantar itu mula dikuatkuasakan.

Kajian selama bertahun-tahun menunjukkan media sosial memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental golongan muda, termasuk meningkatkan kebimbangan, kemurungan, perbuatan mencederakan diri dan juga bunuh diri. Australia menjadi negara pertama mengharamkan akses media sosial bagi mereka yang berusia bawah 16 tahun, diikuti Indonesia, manakala Perancis, United Kingdom, Turkiye, Thailand dan beberapa negara lain dalam proses melaksanakan undang-undang serupa. Undang-undang ini melihat media sosial sebagai sesuatu yang boleh menyebabkan ketagihan, sama seperti rokok dan alkohol, justeru dikenakan had umur.

Langkah itu dibuat ketika syarikat teknologi berdepan saman dan tuduhan kerana membangunkan ciri-ciri yang menyebabkan ketagihan serta gagal melindungi keselamatan kanak-kanak dalam dunia siber. Pada Mac lalu,  gergasi media sosial Meta, iaitu pemilik Facebook, Instagram dan WhatsApp, didapati gagal melindungi pengguna bawah umur daripada pemangsa seksual dan didenda US$375 juta di New Mexico, Amerika Syarikat.

Meta kini berdepan 2,400 saman berkaitan dengan ketagihan media sosial di Amerika Syarikat.

Malaysia turut berdepan masalah sama dalam kalangan belia. Kajian oleh Mohamed Badawi, M. A. E. et al mendapati 73.71 peratus pelajar yang ditinjau di Selangor mengalami ketagihan media sosial. Kajian bertajuk ‘A Cross-Sectional Study on Social Media Addiction and its Relationship with Stress and Loneliness’ yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Public Health Medicine pada 2024 itu melibatkan 350 responden, semuanya pelajar universiti di Selangor. Kajian turut mendapati 82.4 peratus daripada mereka mengalami tekanan sederhana, manakala 73.4 peratus berasa kesunyian.

 

BUKTI

Penggubal dasar berhujah sekatan di bawah ONSA yang bertujuan menghalang kanak-kanak bawah 18 tahun daripada mengakses media sosial diperlukan kerana perkembangan media sosial terlalu pantas berbanding langkah perlindungan sedia ada. Namun, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan UNICEF kurang bersetuju dengan larangan berdasarkan umur berdasarkan alasan langkah itu boleh mengehadkan kebebasan bersuara serta manfaat media sosial seperti memupuk persahabatan.

UNICEF dalam kenyataannya berkata larangan itu mungkin mendorong remaja menggunakan ruang Internet yang kurang dikawal, manakala badan bukan kerajaan (NGO) mempertikaikan penggunaan sistem e-KYC (kenali pelanggan anda secara digital) untuk pengesahan umur kerana boleh menghapuskan anonimiti (ketanpanamaan) serta meningkatkan risiko kebocoran data dan pemantauan.

Dalam kenyataan, CSO berkata larangan itu tidak adil kerana menghukum kanak-kanak berbanding meminta syarikat media sosial bertanggungjawab terhadap algoritma eksploitatif dan amalan pengumpulan data mereka, selain berpotensi meminggirkan komuniti tertentu.

Beberapa NGO mencadangkan Malaysia meningkatkan sumber kesihatan mental dan latihan literasi digital untuk remaja, selain meletakkan tanggungjawab lebih besar pada syarikat teknologi.

Buat masa ini, belum banyak bukti yang menyokong atau menolak sekatan media sosial kerana larangan seperti ini masih baru dan kajian memerlukan masa untuk melihat kesannya terhadap masyarakat. 

Namun, antara contoh paling kuat yang menyokong larangan akses media sosial bagi kanak-kanak ialah pengalaman di Greystones, sebuah kampung dengan 22,000 penduduk di Ireland. Selepas sekatan pergerakan yang dikenakan semasa penularan COVID-19, apabila penggunaan media sosial meningkat mendadak, ramai kanak-kanak mengalami kebimbangan dan mendapatkan bantuan kesihatan mental. Sebagai tindak balas, pemimpin komuniti memperkenalkan inisiatif “It Takes a Village” pada 2023 yang menyaksikan kebanyakan penduduk tidak membenarkan anak masing-masing memiliki telefon pintar sehinggalah mereka memasuki sekolah menengah, menurut laporan New York Times.

[https://www.nytimes.com/2026/03/25/realestate/ireland-cell-phones-children.html]

Tiga tahun kemudian, kanak-kanak dan ibu bapa di Greystones melaporkan mereka lebih gembira dan mampu menyesuaikan diri dengan lebih baik.

“Tujuan melarang kanak-kanak memiliki akaun media sosial sebelum usia 16 tahun adalah untuk mencegah atau sekurang-kurangnya melambatkan kesan negatif itu sehingga perkembangan otak mereka menjadi lebih matang,” kata Pengarah Centre for Responsible Technology Harris Zainul.

pic- 2

Walaupun belum diketahui sama ada Malaysia dan negara lain akan memperoleh manfaat yang sama, ramai pakar yakin sebahagian daripada remaja tetap akan mencari jalan alternatif untuk mengakses media sosial apabila larangan itu dikuatkuasakan.

“Generasi Alfa (lahir selepas 2010) kita membesar dengan teknologi seperti LLM (model bahasa besar), ChatGPT dan Grok,” kata ahli kriminologi dan pensyarah kanan Universiti Malaya Dr Haezreena Begum Abdul Hamid.

“Jika mereka tidak dapat mengakses Internet dengan cara biasa, mereka akan mencari kaedah alternatif.”

Dalam tinjauan terhadap 1,027 remaja dua bulan selepas Australia melarang penggunaan media sosial bagi kelompok bawah 16 tahun pada Disember tahun lalu, tiga daripada empat remaja (73 peratus) berkata mereka masih boleh mengakses media sosial seperti biasa. Daripada 26 peratus yang terkesan oleh larangan itu, lebih separuh menyatakan mereka kini menerima kurang berita.

 

KEBERTANGGUNGJAWABAN 

CSO dan pakar menegaskan syarikat media sosial perlu dipertanggungjawabkan terhadap ciri dan reka bentuk yang menyebabkan ketagihan seperti “menatal tanpa henti”. Reka bentuk itu diwujudkan supaya pengguna berada lebih lama dalam talian dan lebih banyak iklan dapat dipaparkan kepada mereka. Disebabkan oleh semakin banyak negara mula menguatkuasakan undang-undang terhadap platform media sosial, beberapa syarikat teknologi memperkenalkan ciri-ciri keselamatan bagi mengehadkan tabiat menatal tanpa henti.

TikTok, Instagram dan pelantar lain kini membenarkan pengguna menetapkan had harian penggunaan, tetapi pelaksanaannya bergantung pada pengguna sendiri. Di Malaysia, Meta baru-baru ini memperkenalkan akaun khas untuk pengguna berusia 13 hingga 18 tahun dengan tetapan lebih ketat secara automatik, sama seperti sistem penarafan filem, bagi melindungi mereka daripada kandungan dan hubungan yang tidak sesuai. 

“Di Meta, keselamatan remaja dalam talian adalah keutamaan terpenting kami. Kami baru-baru ini memperkenalkan ciri keselamatan tambahan untuk ibu bapa dan remaja di Malaysia,” kata Pengarah Dasar Awam Meta bagi Asia Tenggara dan ASEAN Clara Koh, dalam sesi meja bulat media di Kuala Lumpur bulan lalu.

Ciri-ciri keselamatan yang diperkenalkan antaranya ialah mengehadkan individu yang boleh diikuti oleh remaja dengan menyekat akaun yang kerap memuat naik kandungan tidak sesuai untuk umur mereka. Selain itu, carian berkaitan topik sensitif seperti bunuh diri, mencederakan diri dan gangguan pemakanan turut disekat, walaupun perkataan terbabit dieja secara salah. Meta memaklumkan kecerdasan buatannya (AI) juga tidak akan memberikan jawapan tidak sesuai untuk umur mereka.

Akaun remaja turut ditetapkan secara automatik sebagai akaun peribadi dan mempunyai mod tidur supaya tiada notifikasi diterima pada waktu tertentu. Akaun mereka juga dilengkapi penapis ketat terhadap unsur bogel, sekali gus menghalang gambar tidak sesuai dimuat naik atau dimuat turun. Wakil Meta turut memberitahu Bernama penapis itu juga digunakan terhadap karya seni klasik.

Harris yang juga Pengarah Penyelidikan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, menyifatkan pengenalan ciri-ciri tersebut sebagai “agak terlambat”.

“Langkah ini hanya dilaksanakan secara global pada Jun 2025 walaupun dokumen dalaman dilapor menunjukkan platform itu lebih mengutamakan pertumbuhan dan kadar penglibatan pengguna berbanding keselamatan kanak-kanak, meskipun mereka mengetahui masalah tersebut dari dalam organisasi,” katanya.

Memandangkan ONSA yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2026 terpakai pada platform media sosial, mereka tidak dikenakan hukuman jenayah. Sebaliknya, ketidakpatuhan boleh menyebabkan penalti sivil “tidak melebihi RM10 juta”.

Industri teknologi menentang usaha mengawal mereka. Sesetengah syarikat media sosial mengancam untuk keluar dari pasaran tertentu, walaupun ramai pakar menganggap ancaman itu sekadar gertakan. Memandangkan semakin banyak negara sedang menimbang mengenakan sekatan serupa, syarikat media sosial akhirnya perlu melaksanakan bentuk sekatan tertentu di mana sahaja mereka beroperasi.

Haezreena berkata jika syarikat terbabit benar-benar keluar dari pasaran, keadaan itu mungkin membawa hikmah tersendiri.

“Semua penyedia platform ini tidak suka apabila keuntungan perniagaan mereka terjejas,” katanya. “Jika syarikat media sosial keluar, memang akan ada kerugian pada awalnya. Mungkin agak sukar, tetapi lama-kelamaan masyarakat akan dapat menyesuaikan diri tanpa media sosial.”

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559298