WASHINGTON, 22 Mei (Bernama-Anadolu) -- Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat (DNC) berdepan kritikan pada Khamis selepas laporan post-mortem pascapilihan raya setebal 192 halaman tidak menyebut mengenai Gaza, sekali gus mencetuskan reaksi balas daripada golongan progresif dan beberapa Demokrat pro-Israel yang berhujah isu itu memainkan peranan penting dalam kekalahan parti itu pada pilihan raya presiden 2024.
Anggota Kongres Demokrat Ro Khanna mengkritik pengabaian itu dalam mesej video yang dimuat naik di platform media sosial X, lapor Anadolu Ajansi.
“Tiada satu pun disebut mengenai Gaza dalam laporan post-mortem DNC setebal 192 halaman.
“Sebagai seseorang yang berkempen di Michigan dan Wisconsin, izinkan saya katakan – satu daripada sebab utama kita tewas ialah sokongan tanpa syarat kita kepada Israel dan (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu ketika mereka melakukan genosid,” kata Khanna.
Dokumen itu tidak mengandungi sebarang rujukan kepada Gaza atau Israel meskipun berlaku perdebatan berbulan-bulan dalam Parti Demokrat berhubung sokongan bekas Presiden Joe Biden terhadap perang genosid Israel di Gaza serta kesan politiknya terhadap kempen Naib Presiden Kamala Harris untuk jawatan presiden.
Pengabaian itu mencetuskan semula perpecahan dalam Parti Demokrat berhubung dasar pentadbiran Biden terhadap Israel.
Beberapa aktivis progresif memberitahu Politico bahawa mereka telah membangkitkan kebimbangan dengan penulis utama laporan itu, penggerak Demokrat Paul Rivera dengan berhujah sokongan AS terhadap Israel menjauhkan pengundi muda dan progresif.
Bekas Naib Pengerusi DNC David Hogg dilaporkan berkata beliau memberi amaran kepada pegawai parti bahawa isu Gaza menyumbang kepada kehilangan sokongan pengundi muda terhadap Demokrat.
Pentadbiran Biden meluluskan hampir US$18 bilion sokongan ketenteraan untuk Israel sepanjang perang itu dan berulang kali memveto resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa gencatan senjata di Gaza, dasar yang mencetuskan reaksi balas dalam sebahagian penyokong Demokrat.
Israel membunuh ribuan rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023. Kempen ketenteraan itu memusnahkan wilayah berkenaan, melumpuhkan sistem kesihatan dan menyebabkan kekurangan makanan yang teruk.
-- BERNAMA-ANADOLU