AM

Kerajaan Jamin 85 Peratus Rakyat Dilindungi Daripada Kenaikan Kos Elektrik - Fadillah

22/05/2026 12:39 PM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Kerajaan memberikan jaminan akan terus mengekalkan perlindungan tarif elektrik bagi memastikan kira-kira 85 peratus rakyat tidak terkesan, meskipun peningkatan kos tenaga global dijangka memberikan tekanan kepada harga barangan dan beberapa sektor ekonomi tertentu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pengguna domestik yang menggunakan elektrik hingga 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan tidak akan terjejas, manakala pelarasan kecil mungkin melibatkan pengguna yang melebihi kadar berkenaan.

"Kos elektrik kita telah memberikan jaminan bahawa untuk 85 peratus rakyat tidak akan terkesan sebab itu memang dijamin oleh kerajaan. Jadi itu akan tetap kita kekalkan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di sini hari ini.

Beliau berkata peningkatan yang dijangka berlaku bukan membabitkan kenaikan tarif elektrik secara menyeluruh, sebaliknya berpunca daripada gangguan bekalan dunia yang meningkatkan kos logistik dan rantaian bekalan.

Fadillah berkata pengguna yang menggunakan lebih 600 kWj sebulan mungkin mengalami sedikit pelarasan.

"Mungkin adalah kenaikan, mungkin ada beberapa industri lain, sektor lain, mungkin ada terkesan sikit, tapi kita sedang menilai, melihat keseluruhannya, insya-Allah.

"Yang guna (tenaga) 600 kilowatt ke bawah tak terkesan. Siapa guna lebih 600 kilowatt, itu akan ada adjustment sikit. Tapi insya-Allah tak berapa beratlah kalau ada pun," katanya.

Terdahulu, Fadillah dalam ucapannya berkata Malaysia turut menerima tempias daripada ketidaktentuan rantaian bekalan global dan krisis bekalan, namun kerajaan kekal komited mendepani cabaran dengan pendekatan pragmatik bagi memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan dalam keputusan dan dasar yang dilaksanakan.

Beliau berkata fokus utama kerajaan adalah memastikan bekalan keperluan asas negara kekal stabil, melindungi rakyat daripada tekanan kos hidup yang melampau serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara bagi jangka panjang.

"Pelbagai langkah termasuk bantuan bersasar, kawalan harga, pengukuhan keselamatan tenaga serta kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan rakyat sedang dan terus dilaksanakan. Apa yang penting, krisis ini perlu dengan semangat kebersamaan," katanya.

Dalam pada itu, Fadillah mengingatkan warga PETRA supaya terus mengekalkan integriti, disiplin dan profesionalisme dalam melaksanakan amanah bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap kementerian terus terpelihara.

Beliau berkata kecemerlangan sesebuah organisasi lahir daripada warga kerja yang berintegriti, berdisiplin dan profesional.

"Kepercayaan rakyat terhadap kementerian bergantung kepada cara kita bekerja, membuat keputusan dan membawa imej perkhidmatan awam," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560205