LONDON, 20 Mei (Bernama-PA Media/dpa) -- Kerajaan United Kingdom (UK) melonggarkan sekatan terhadap minyak mentah Rusia dengan membenarkan import bahan api jet dan diesel yang ditapis di negara ketiga susulan peningkatan kos, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Lesen perdagangan yang mula berkuat kuasa pada Rabu itu membenarkan import berkenaan dibuat “untuk tempoh tidak ditetapkan”.
Menurut lesen itu, pengecualian sekatan berkenaan akan disemak secara berkala berikutan kenaikan harga bahan api susulan penutupan Selat Hormuz dan krisis berterusan di Asia Barat.
Sebelum ini, kerajaan UK mengumumkan negara itu akan menyekat minyak Rusia yang ditapis di negara lain dalam usaha “menyekat lagi aliran dana kepada Kremlin”.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Scott Bessent pada awal minggu ini melanjutkan pengecualian sekatan selama 30 hari yang membenarkan pembelian penghantaran minyak Rusia yang sedia ada di laut.
“Lanjutan ini akan memberikan lebih fleksibiliti dan kami akan bekerjasama dengan negara-negara terbabit untuk menyediakan lesen khusus mengikut keperluan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
“Lesen am ini akan membantu menstabilkan pasaran minyak mentah fizikal dan memastikan bekalan minyak sampai ke negara-negara yang paling rentan kepada krisis bekalan global.”
Langkah itu dibuat ketika data baharu menunjukkan harga petrol kini melepasi paras tertinggi sebelum ini yang dicatatkan semasa krisis minyak Iran.
Pada Selasa, Kelab Automobil Diraja UK (RAC) memaklumkan harga purata seliter petrol di stesen minyak UK mencecah 158.5 pence (US$2.123), iaitu paras tertinggi sejak Disember 2022.
Selepas bermulanya konflik di Asia Barat pada 28 Februari, harga itu sebelum ini memuncak kepada 158.3 pence pada 15 April.
-- BERNAMA-dpa