DUNIA

Kapal Syarikat Korea Selatan Lalui Selat Hormuz - Menteri Luar

20/05/2026 07:50 PM

SEOUL, 20 Mei (Bernama-Yonhap) -- Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun berkata pada Rabu, sebuah kapal yang dikendalikan oleh syarikat perkapalan negara itu kini sedang melalui Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Yonhap.

Ini kali pertama kapal yang diuruskan Korea Selatan melepasi laluan air berkenaan sejak tercetusnya perang Amerika Syarikat (AS)-Iran.

“Pada masa ini, sebuah kapal tangki minyak Korea Selatan sedang keluar dari Selat Hormuz dengan koordinasi bersama pihak Iran.

"Perundingan dengan pihak berkuasa Iran telah selesai dan kapal itu mula berlayar semalam (Selasa). Ia melalui selat itu dengan sangat berhati-hati," kata Cho semasa sesi jawatankuasa parlimen di Seoul, sambil menambah bahawa kapal tangki itu membawa dua juta tong minyak mentah.

Walaupun pegawai enggan mendedahkan nama pengendali kapal itu, memetik kebimbangan keselamatan, Bloomberg sebelum ini melaporkan kapal itu ialah kapal tangki minyak mentah yang dikendalikan oleh syarikat perkapalan Korea Selatan HMM Co. dan bandar pelabuhan Korea Selatan Ulsan sebagai destinasinya.

Pelayaran yang dirancang itu berlaku kira-kira dua minggu selepas kapal kargo berbendera Panama, HMM Namu, dilanggar dua objek terbang yang tidak dikenali, menyebabkan letupan dan kebakaran, serta mengakibatkan seorang daripada 24 anak kapal cedera ringan.

Kerajaan Seoul sedang menjalankan analisis mendalam ke atas serpihan enjin yang ditemui daripada objek tersebut untuk mengenal pasti sifatnya dan mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Sekiranya pelayaran itu selesai dengan selamat, jumlah kapal kendalian Korea Selatan yang terkandas berhampiran selat itu akan menurun kepada 25, termasuk HMM Namu, yang sedang menjalani pembaikan di Emiriah Arab Bersatu.

Iran dengan berkesan menyekat pelayaran melalui selat berkenaan di tengah-tengah konflik.

“Kelulusan Iran tidak berkaitan dengan serangan ke atas HMM Namu, kerana kita telah lama berbincang dengan Iran mengenai laluan selamat kapal kita melalui Selat Hormuz.

"Rundingan sedemikian akan diteruskan sehingga semua kapal kita melepasi laluan air itu," kata seorang pegawai kementerian.

Pada Ahad, Cho mengadakan perbincangan telefon dengan rakan sejawatannya dari Iran, Abbas Araghchi, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan rundingan berhubung keselamatan kapal dan anak kapal Korea Selatan di selat itu, menurut kementerian.

-- BERNAMA-YONHAP

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559656