DUNIA

Presiden Korea Selatan Kritik Serangan Israel Ke Atas Flotila

20/05/2026 10:15 PM

SEOUL, May 20 (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Rabu mengkritik tindakan Israel menyerang kapal bantuan kemanusiaan yang menuju ke Semenanjung Gaza membawa aktivis termasuk warga Korea Selatan.

Beliau menuduh Israel telah melanggar peraturan antarabangsa.

Lee menyuarakan kritikan itu pada mesyuarat Kabinet selepas sebuah kumpulan sivik berkata kapal Lina Al Nabulsi, yang membawa aktivis Korea Selatan Kim Ah-hyun dan aktivis Amerika berbangsa Korea Jonathan Victor Lee, diserang oleh tentera Israel di perairan berhampiran Semenanjung Gaza pada 2.50 pagi Rabu, lapor Agensi Berita Yonhap.

Serangan itu berlaku dua hari selepas tentera Israel memintas sebuah lagi kapal bantuan, Kyriakos X, yang membawa aktivis Korea Selatan Kim Dong-hyeon, bersama yang lain dari seluruh dunia.

Lee menyifatkan serangan terbaharu itu sebagai "tidak berperikemanusiaan dan melampau," dengan alasan bahawa lokasi di mana kapal itu dipintas bukan sebahagian daripada perairan wilayah Israel.

"Kami telah bersabar terlalu lama ... (mereka) telah melampaui batas," kata Lee, mempersoalkan kesahihan serangan itu dan mengarahkan kerajaan untuk menangani isu tersebut "dengan tegas mengikut peraturan."

Lee turut bertanya sama ada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Penasihat Keselamatan Negara Wi Sung-lac menjawab bahawa waran telah dikeluarkan.

Lee kemudian berkata ini menjadikan Netanyahu "seorang penjenayah perang." ICC mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu pada November 2024, menuduhnya melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan berkaitan konflik di Gaza, termasuk kebuluran dan pembunuhan.

-- BERNAMA-YONHAP

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559729