EKONOMI

Standard Chartered: Malaysia Kekal Kukuh, Pertumbuhan KDNK 2026 Dijangka Pada 4.5 Peratus

19/05/2026 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Malaysia mengharungi krisis minyak semasa dalam kedudukan yang kukuh, dengan unjuran pertumbuhan ekonominya dikekalkan pada 4.5 peratus bagi 2026, menurut Standard Chartered Bank (SCB) hari ini.

Ia memaklumkan negara mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026.

“Walaupun pertumbuhan suku ke suku adalah mendatar, kami ingin menegaskan KDNK telah meningkat selama 12 suku berturut-turut sebelum ini. Eksport untuk perkhidmatan dan pelaburan swasta adalah kukuh pada suku pertama,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bank itu turut menjangkakan perbelanjaan pengguna akan kekal berdaya tahan pada masa hadapan, didorong oleh pertumbuhan gaji yang berterusan, dasar berkaitan dengan pendapatan dan bantuan tunai.

Selain itu, subsidi bahan api BUDI95 seharusnya dapat membantu mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap isi rumah sekali gus mengehadkan kesan negatif kepada penggunaan, jelasnya.

Penggunaan isi rumah pula kekal stabil pada suku pertama 2026, menyumbang 2.9 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK tahun ke tahun walaupun menyusut daripada 3.2 mata peratusan pada suku keempat 2025.

Perbelanjaan pengguna kekal agak perlahan berbanding purata sumbangan sebanyak 4.2 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK tahun ke tahun bagi tempoh 2017-2019.

Sementara itu, SCB memaklumkan risiko kenaikan kadar faedah di Malaysia semakin meningkat memandangkan tumpuan Bank Negara Malaysia nampaknya mula beralih ke arah inflasi di tengah-tengah tekanan harga yang semakin meluas.

Bank itu mengambil maklum tentang perubahan kecil dalam kenyataan dasar bank pusat berkenaan, termasuk perubahan dalam menyifatkan pendirian dasar monetari daripada 'wajar dan menyokong' kepada 'wajar dan konsisten', yang membayangkan peralihan daripada pendirian neutral.

SCB menyatakan kedudukan keseluruhan imbangan pembayaran pada suku pertama adalah kukuh pada 3.2 peratus daripada KDNK dan menambah ia kekal positif terhadap ringgit.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559118