PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Lebih Tinggi Berikutan Harga Minyak Mentah Kukuh

18/05/2026 10:05 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) --  Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Isnin, aktiviti dagangan didorong oleh sokongan kukuh daripada pergerakan harga minyak mentah.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan sawit menjejaki peningkatan harga minyak mentah untuk diniagakan dengan lebih tinggi.

“Niaga hadapan MSM melonjak lebih daripada RM100, dan dua kontrak bulan terdekat kedua-duanya ditutup dengan peningkatan melebihi paras itu,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata harga kukuh pada awal sesi dagangan Isnin dengan pasaran ditutup pada sekitar US$4,500.

Beliau berkata pergerakan harga adalah seiring dengan harga tenaga, didorong oleh aktiviti spekulatif.

“Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa tahap stok yang agak tinggi iaitu kira-kira 2.3 juta tan itu. Pada harga ini, ia kekal sebagai salah satu tempoh paling menguntungkan untuk sektor pertanian Malaysia,” kata Teh.

Pada penutup dagangan, kontrak semerta bulan Jun 2026 naik RM101 kepada RM4,491 satu tan, Julai 2026 menambah RM102 kepada RM4,522 setan dan Ogos 2026 meningkat RM97 kepada RM4,534 satu tan.

Kontrak September 2026 menokok RM93 kepada RM4,542 setan, Oktober 2026 melonjak RM84 kepada RM4,549 satu tan dan November 2026 naik RM80 kepada RM4,561 setan.

Jumlah dagangan merosot kepada 87,585 lot daripada 98,554 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 283,019 kontrak daripada 285,554 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan menokok RM90 kepada RM4,530 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558764