AM

Lebih 3,000 Aduan Rakyat Diterima Sepanjang Program WRUR Di 15 DUN Melaka

17/05/2026 06:57 PM

MELAKA, 17 Mei (Bernama) -- Sebanyak 3,664 aduan rakyat melibatkan pelbagai isu dan masalah diterima sepanjang pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,474 aduan berjaya diselesaikan manakala selebihnya sedang dalam tindakan segera pelbagai agensi berkaitan.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan WRUR adalah gerakan kerja yang benar-benar memberi fokus kepada tindakan dan penyelesaian isu serta masalah rakyat.

"Dalam pentadbiran hari ini, saya selalu tegaskan kepada setiap YB (Yang Berhormat) kawasan, jabatan dan agensi berkaitan supaya ambil tindakan segera bagi setiap aduan yang diterima demi rakyat untuk rakyat.

"Jangan sesekali memandang kecil keluhan rakyat, jangan tunggu tular baru mahu bertindak atau jangan tunggu marah baru turun padang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program WRUR Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita, DUN Kota Laksamana di sini hari ini.

Turut hadir Ahli DUN Kota Laksamana yang juga Timbalan EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Low Chee Leong.

Ab Rauf berkata suara rakyat bukanlah sekadar untuk didengar tetapi juga menjadi kompas utama dalam menentukan setiap dasar, tindakan dan keputusan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata Program WRUR yang memasuki siri ke-16 dilaksanakan secara konsisten sejak tahun lepas tanpa mengambil kira musim pilihan raya atau tidak kerana perjuangan membela kebajikan dan keperluan rakyat perlu diteruskan.

Ab Rauf berkata bagi siri yang melibatkan Parlimen Kota Melaka, ia bermula di DUN Kota Laksamana dari 17 hingga 23 Mei sebelum diteruskan ke DUN Banda Hilir (31 Mei hingga 6 Jun), DUN Kesidang (7 hingga 13 Jun) dan berakhir di DUN Telok Mas (14 hingga 20 Jun).

"Lebih 350 program akan digerakkan sepanjang empat minggu penganjuran program tersebut melibatkan pelbagai pengisian yang dekat di hati rakyat antaranya program kebajikan, pembangunan komuniti, pendidikan, belia, usahawan dan menyelesaikan isu rakyat atau setempat.

"Jumlah itu tidak termasuk pengisian program yang telah berlangsung pada WRUR DUN Duyong tahun lepas," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558274