BALING, 17 Mei (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita sebuah bas sekolah yang dikesan menyalahgunakan permit dalam Ops Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di susur keluar Plaza Tol Gurun, dekat sini hari ini.
Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata bas sekolah tersebut didapati membawa 26 penumpang dari Taman Intan, Sungai Petani menuju ke Bukit Jenun, Pendang bagi menghadiri satu upacara pengebumian.
"Bas sekolah tersebut dipercayai sudah dua tahun tidak mengambil pelajar sekolah sebagai penumpang berikutan kekurangan permintaan.
"Keadaan itu menyebabkan pemandu yang juga merupakan pemilik bas, bertindak mengambil upah untuk membawa penumpang dari satu destinasi ke destinasi lain," katanya pada sidang media di Stesen Penguat Kuasa JPJ Kuala Ketil dekat sini hari ini.
Beliau berkata bas tersebut disita di bawah Seksyen 80(1) APAD 2010 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 (3) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
"Bas itu cukup semua syarat, ada insurans, cukai jalan, namun ia melanggar syarat lesen pengendali kerana membawa penumpang selain pelajar sekolah. Bas tersebut telah disita manakala pemandu lelaki berusia 73 tahun turut diambil keterangan," katanya.
Dalam pada itu, Van Lutam berkata tiga lagi operasi turut dilaksanakan dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
"Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 akan bermula 24 hingga 31 Mei ini dengan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan akan ditingkatkan di lokasi-lokasi strategik termasuk kawasan hotspot kemalangan.
"JPJ Kedah turut memperkukuh pelaksanaan Ops Luxury membabitkan semua kategori kenderaan mewah yang didapati gagal mematuhi peruntukan undang-undang jalan raya," katanya.
Beliau berkata sejak 1 Julai tahun lepas sehingga kini, sebanyak 23 kenderaan mewah termasuk Porsche Cayenne, Mini Countryman dan Mercedes-Benz A250 Sport telah disita hasil pelaksanaan operasi itu di negeri ini.
-- BERNAMA