KOTA KINABALU, 17 Mei (Bernama) -- Persidangan Agung Khas Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hari ini meluluskan usul untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan penstrukturan semula bahagian daripada 74 bahagian kepada 26.
Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor berkata perubahan tersebut menyaksikan parti itu kini menggunakan 25 kawasan Parlimen di Sabah dan Parlimen Labuan sebagai asas pembentukan bahagian, berbanding 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Parlimen Labuan sebelum ini.
“Perkara ini akan dibawa ke ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) untuk kelulusan sebelum penstrukturan semula berkenaan dapat dikuatkuasakan sepenuhnya secara rasmi,” katanya pada sidang media selepas persidangan itu, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata langkah penstrukturan semula itu amat penting dalam usaha memperkukuh Gagasan Rakyat di semua peringkat, di samping menyatukan bahagian kecil menjadi lebih besar bagi menjamin kestabilan berterusan kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata Gagasan Rakyat berada dalam kesiapsiagaan penuh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan memfokuskan strategi memperkemas jentera parti mengikut kawasan Parlimen dan perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti.
"Kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang, menyusun strategi parti dan mengemaskan jentera mengikut Parlimen. Kebetulan kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum, ini amat sesuai dengan pindaan yang kita buat ini," katanya.
Mengenai kerjasama bagi menghadapi PRU, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata pihaknya akan melihat seluas-luasnya kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti lain jika membawa kebaikan kepada rakyat dan negeri.
"Dalam politik semua kita mesti tengok seluas-luasnya. Kalau ia mendatangkan kebaikan kepada negeri, perpaduan rakyat, apa salahnya? Itu yang baik kerana matlamat kita, perjuangan kita adalah untuk bersatu padu dan membangunkan negeri kita," katanya.
Terdahulu dalam ucaptamanya pada perhimpunan itu, Hajiji berkata penyusunan semula itu tidak sesekali memadamkan jasa, peranan atau pengorbanan ahli di peringkat akar umbi, sebaliknya bertujuan mengatur semua jentera dengan lebih baik bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau mengingatkan rakan kepimpinan mengenai ranjau politik yang dihadapi sejak mula mengambil alih kerajaan pada 2020 yang menuntut kepentingan peribadi diketepikan demi kekuatan bersama.
Hajiji turut menegur tindakan segelintir pemimpin politik tempatan yang sebelum ini lantang memperjuangkan maruah politik tempatan, namun telah berubah arah, membawa haluan sendiri atau keluar daripada perjuangan apabila musim pilihan raya semakin hampir kerana mengejar kuasa dan jawatan.
“Pemimpin di negeri ini tidak perlu terlalu sibuk berlumba menjadi pihak yang paling lokal atau hebat bersuara kerana ukuran politik sebenar dinilai oleh rakyat berasaskan kestabilan kerajaan, peluang pekerjaan, dan keupayaan menyelesaikan masalah melalui dasar seperti SMJ (Sabah Maju Jaya),” katanya.
-- BERNAMA