KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Semua 19 muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium akan dibuka secara percuma kepada warganegara Malaysia pada 18 Mei ini sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat, khususnya generasi muda mengunjungi muzium serta mendekati sejarah dan warisan negara.
“Selain itu, kita berharap rakyat dapat menghayati peranan muzium sebagai institusi ilmu, pemangkin perpaduan dan medium pembinaan identiti bangsa,” katanya ketika berucap pada Sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah 2026 di Muzium Negara di sini hari ini.
Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor akan menganjurkan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 di Johor pada 23 hingga 30 Jun ini.
Aaron berkata penganjuran itu diharap menjadi platform penting dalam memperkukuh peranan muzium sebagai ruang pendidikan, pemeliharaan warisan serta medium penyatuan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan latar belakang.
Beliau berkata Kerajaan MADANI sentiasa komited meremajakan institusi muzium dengan pelbagai inisiatif termasuk melalui Geran Padanan Muzium menerusi Belanjawan 2026 sebagai usaha memperkasakan pembangunan serta transformasi sektor permuziuman negara.
“Geran ini memberi keutamaan kepada projek dan program yang bersifat berpaksikan rakyat dengan memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur kekal, pendigitalan muzium, penyediaan ruang pendidikan dan pelaksanaan program permuziuman,” katanya.
Sementara itu, Aaron memaklumkan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM) telah dibentangkan dan dipersetujui secara dasar dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 April lepas.
“Penggubalan RUUMM merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem permuziuman negara kerana ia bakal menjadi undang-undang Persekutuan pertama yang digubal khusus bagi mengawal selia penubuhan, pendaftaran serta pengurusan aktiviti permuziuman di negara ini,” katanya.
Beliau berkata akta itu akan terpakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, meliputi aspek penubuhan Majlis Muzium Malaysia (MMM), tadbir urus muzium Persekutuan dan persendirian, pewujudan Daftar Muzium serta Daftar Koleksi.
Mengenai sambutan Minggu Perpaduan, Aaron berkata program yang diperkenalkan sejak 2023 itu menjadi wadah menyemarakkan semangat perpaduan, memperkukuh kefahaman terhadap kepelbagaian budaya serta mempertingkatkan integrasi nasional dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata sambutan itu telah memasuki tahun keempat pelaksanaannya dan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat dengan Muzium Negara dipilih sebagai lokasi penganjuran sambutan Zon Tengah 2026.
-- BERNAMA