PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Menara Kuala Lumpur bakal disinari cahaya biru pada 18 Mei ini sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 yang diraikan di seluruh dunia.
Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama pengurusan Menara KL, LSH Service Master Sdn Bhd.
Menurut kenyataan itu, sambutan Hari Muzium Antarabangsa tahun ini membawa tema "Muzium sebagai Wadah Penyatuan Dunia yang Terpisah".
"Tema ini menekankan peranan institusi muzium sebagai medium penting dalam membina kefahaman, memperkukuh perpaduan serta merapatkan jurang budaya dan sosial dalam masyarakat global yang semakin mencabar," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan inisiatif pencahayaan biru berkenaan merupakan simbol sokongan terhadap usaha memperkasakan muzium sebagai institusi ilmu, warisan dan pendidikan.
Menurut kenyataan itu lagi, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, kementerian tersebut komited untuk terus memperkukuh sektor warisan dan permuziuman negara agar kekal relevan, inklusif dan dekat dengan generasi muda melalui pendekatan pendidikan, teknologi serta penglibatan komuniti.
Orang ramai turut dijemput menyemarakkan sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 dengan mengunjungi muzium di seluruh negara serta menyertai pelbagai program pendidikan, kebudayaan dan warisan yang dianjurkan.
-- BERNAMA