DUNIA

Lebih 200 Cedera Dalam Kebakaran Depot Minyak Di Chad

14/05/2026 07:22 PM

YAOUNDE, 14 Mei (Bernama-Xinhua) -- Lebih 200 orang cedera dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada malam Selasa di sebuah depot bahan api utama di Abeche, ibu negeri wilayah Ouaddai di timur Chad, kata pihak berkuasa pada Rabu, lapor Xinhua.

Angka itu diumumkan ketika Timbalan Perdana Menteri Limane Mahamat bersama beberapa anggota kerajaan melawat kawasan bencana berkenaan.

Perwakilan Kesihatan wilayah Ouaddai, Abdoulmahmoud Chine memberitahu delegasi itu bahawa 206 mangsa yang cedera dalam kejadian berkenaan sedang dirawat di beberapa kemudahan kesihatan di bandar itu, manakala 53 lagi masih berada di bawah pemerhatian perubatan.

Beliau berkata beberapa mangsa sudah menunjukkan tanda pemulihan yang menggalakkan.

Mahamat bersama delegasinya turut melawat mangsa di hospital tempatan bagi menyatakan simpati dan sokongan.

Beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan memindahkan semua depot bahan api di dalam bandar itu ke kawasan di luar had bandar dalam tempoh 10 hari.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557037