AM

Melaka Rancang Penternakan Ikan Tilapia Berteknologi IoT, AI

16/05/2026 06:51 PM

JASIN, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka merancang memperkenalkan pendekatan baharu dalam sektor akuakultur menerusi pelaksanaan projek penternakan ikan tilapia berteknologi tinggi berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) di daerah ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata projek berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa membabitkan pembangunan pusat penetasan dan pembesaran ikan menggunakan sistem teknologi pintar.

"Permohonan peruntukan bagi projek itu telah dikemukakan kepada kerajaan dengan melibatkan kira-kira RM3 juta dan kini sedang menunggu kelulusan.

"Kita sudah menghantar kertas cadangan dan insya-Allah sekiranya diluluskan, projek itu akan dilaksanakan bagi penternakan ikan tilapia secara IoT dan AI yang akan memanfaatkan teknologi berkenaan dalam sistem penternakan,” katanya kepada pemberita di Lembah Kesang, Seri Mendapat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas program pelancaran QR Tagging Haiwan Ternakan Nergeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Muhamad Akmal berkata projek berkenaan akan dimulakan di satu kawasan di Jasin sebagai fasa awal pelaksanaan sebelum diperluas ke lokasi lain sekiranya berjaya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557948