SEREMBAN,13 Mei (Bernama) -- Polis menumpaskan aktiviti pemprosesan sisa elektronik (e-waste) secara haram dengan nilai rampasan dianggarkan lebih RM47 juta menerusi serbuan berasingan di tiga premis kilang sekitar daerah ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata serbuan yang diadakan di kawasan Perindustrian Nilai pada 15 April dan dua premis di Kuala Sawah pada 6 Mei itu, hasil risikan berterusan pihaknya bersama agensi berkaitan menerusi Ops Waste.
Beliau berkata hasil serbuan di Nilai, polis menahan dua lelaki tempatan berumur 43 dan 37 tahun dipercayai penjaga premis untuk membantu siasatan manakala tiada tangkapan dibuat semasa serbuan di Kuala Sawah.
"Hasil serbuan tersebut pihak JAS menyita barangan disyaki e-waste serta 39 mesin dengan anggaran melebihi RM47,637,000, selain turut mengesan tiga kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (pindaan) 2024.
"Manakala Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turut mengeluarkan saman di bawah Seksyen 53(1), Seksyen 55(1) Undang-Undang Kecil Iklan serta Seksyen 81(K) selain menyita dan mengarahkan tiga premis tersebut menghentikan operasi serta-merta kerana beroperasi tanpa kelulusan dan lesen yang sah," katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JAS Negeri Abdul Aziz Parmin.
Alzafny berkata selain JAS Negeri dan MBS, operasi bersepadu itu turut melibatkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri.
Beliau berkata pihak polis dan agensi berkaitan akan terus menjalankan pemantauan dan risikan secara berterusan bagi membanteras aktiviti pemprosesan e-waste haram yang boleh menjejaskan keselamatan, kesihatan awam dan alam sekitar.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan pihaknya akan terus melakukan pemantauan di media sosial membabitkan komen berunsur provokasi, hasutan atau campur tangan yang boleh menganggu gugat ketenteraman negeri ini berhubung krisis yang berlaku di Negeri Sembilan.
Beliau berkata buat masa ini pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.
-- BERNAMA