PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara hari ini memberikan pengiktirafan khas Sahabat Perpaduan MADANI kepada Mohd Yusof Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai “Abang Minyak Hitam Jalanan” dan Dicky atas nilai kemanusiaan, keikhlasan serta semangat perpaduan.
Pejabat Timbalan Menteri Perpaduan Negara menerusi kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu disampaikan Timbalan Menteri Perpaduan Negara Yuneswaran Ramaraj sebagai tanda penghargaan terhadap insan biasa yang melakukan perkara luar biasa demi masyarakat.
“Kisah Mohd Yusof yang tular baru-baru ini menyentuh hati rakyat Malaysia apabila beliau membantu saudara Dicky yang berdepan kesulitan selepas motosikalnya rosak, tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Perbuatan itu bukan sahaja mencerminkan nilai ihsan, malah memperlihatkan perpaduan sebenar hidup melalui tindakan kecil yang lahir daripada hati yang ikhlas,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Yuneswaran dalam kenyataan sama berkata kisah Mohd Yusof dan Dicky membuktikan perpaduan tidak terhad kepada slogan, ucapan atau dasar semata-mata.
Beliau berkata perpaduan sebaliknya dapat diterjemahkan melalui sikap saling membantu tanpa mengira latar belakang, kaum, agama atau status sosial.
“Apa yang ditunjukkan oleh Mohd Yusof dan saudara Dicky adalah cerminan Malaysia yang kita cintai, sebuah negara yang dibina atas nilai hormat, belas ihsan dan kebersamaan,” katanya.
Pejabat Timbalan Menteri Perpaduan Negara berharap kisah ini menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyemai budaya saling membantu, menghormati dan menjaga keharmonian masyarakat majmuk.
“Dalam semangat Malaysia MADANI, setiap perbuatan baik yang menyatukan masyarakat perlu diraikan, diiktiraf dan dijadikan teladan agar nilai perpaduan terus hidup dalam kehidupan seharian rakyat,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA