JENAYAH & MAHKAMAH

Mekanik Mengaku Tidak Salah Miliki Senjata Api, Peluru Dan Senjata Tiruan

13/05/2026 03:21 PM

BALING, 13 Mei (Bernama) -- Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan memiliki senjata api, peluru dan senjata tiruan, awal bulan ini.

Mohd Shahifuldin Mohd Shahiran, 46, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak yang juga bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa memiliki sepucuk pistol model Colt UTC/TIC kaliber 45 serta satu kelopak serta sepucuk pistol model Forjas Taurus S.A PT 24/7 kaliber 9 milimeter buatan Brazil dan kelopak tanpa lesen atau permit sah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bengkel membaiki kereta di Kampung Siput Siong di sini pada 12.30 tengah malam 1 Mei. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Mohd Shahifuldin juga dituduh memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna hitam buatan Taiwan tanpa sebab yang sah pada tarikh, masa dan tempat sama. 

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, dia berhadapan dua pertuduhan, iaitu memiliki dua laras senapang angin serta memiliki 19 butir peluru berwarna emas dan perak tanpa lesen atau permit sah di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala lelaki itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Intan Nursyafina Baharudin.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 12 Julai untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556407