MELAKA, 13 Mei (Bernama) -- Seorang bekas ketua jualan sebuah bank didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan menerima wang rasuah dan gagal melaporkan pemberian suapan berjumlah RM123,132.50 berkaitan urusan pinjaman perumahan.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Rais Mohamed Ramli, 44, dan memerintahkan tertuduh dipenjara antara dua bulan hingga 10 bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan kesemua pertuduhan pilihan, lelaki itu, yang ketika kejadian merupakan ketua jualan sebuah bank didakwa secara rasuah menerima wang suapan berjumlah keseluruhan RM123,132.50 daripada sebuah firma guaman melalui akaun bank syarikat milik isterinya.
Suapan bernilai antara RM2,820 dan RM15,545 itu adalah sebagai upah kerana membantu firma guaman terbabit mendapatkan rujukan kes berkaitan urusan pinjaman perumahan melalui pegawai eksekutif bank yang berkhidmat di bawah seliaan tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor antara 13 Dis 2019 hingga 27 Jan 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 25(1) akta sama kerana gagal melaporkan pemberian suapan tersebut kepada pegawai SPRM atau polis berhampiran dengan segera.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh, manakala peguam S. S. Amritpal Singh yang mewakili Mohd Rais merayu denda minimum dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap selain menanggung isteri dan tiga anak.
-- BERNAMA