GEORGE TOWN, 13 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri menyasarkan pelaksanaan sebanyak 1,440 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di kesemua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri Goh Choon Aik berkata program itu akan dilaksanakan dengan kekerapan tiga kali sebulan di setiap DUN bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan.
“Setakat 30 April, sebanyak 962 siri program berjaya dilaksanakan di seluruh negeri dan PJRM menawarkan barangan keperluan harian pada kadar 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Beliau berkata Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Pulau Pinang dibentuk pada 18 Mac sebagai platform penyelarasan strategik dalam menangani isu berkaitan perdagangan domestik, kestabilan harga, bekalan barangan keperluan dan kebajikan pengguna secara lebih berkesan.
Jawatankuasa tersebut, katanya, turut berfungsi menyelaras tindakan pemantauan harga dan bekalan, memperkukuh keterjaminan makanan negeri, meneliti isu berkaitan kos sara hidup rakyat serta mempercepat pelaksanaan intervensi dan langkah penyelesaian secara menyeluruh.
Pada 5 Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju untuk memperbanyak PJRM di seluruh negara dengan menambah kekerapan pelaksanaan program itu kepada setiap minggu dengan menyasarkan 30,000 program diadakan tahun ini.
Sementara itu, Goh berkata sebanyak 193 projek komuniti telah diluluskan melibatkan nilai geran keseluruhan melebihi RM18.1 juta bagi pelaksanaan Program Sejati MADANI melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Pulau Pinang bagi tempoh 2024 hingga April 2026.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, Seberang Perai Utara merekodkan 62 projek, Seberang Perai Selatan (42 projek), Seberang Perai Tengah (40 projek), Daerah Timur Laut (29 projek) dan Daerah Barat Daya (20 projek).
“Antara projek MPKK yang berjaya dilaksanakan ialah projek tanaman tembikai MPKK Bandar Perda, dron pertanian MPKK Kampung Terus, tanaman cili fertigasi MPKK Permatang Langsat, bot pelancongan MPKK Pulau Aman dan Kampung Bagan Bukit Tambun,” katanya.
Program Sejati MADANI merupakan inisiatif kerajaan bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi pada peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
-- BERNAMA