AM

MetMalaysia Saran Pengunjung Sambutan Hari Belia Negara Peka Perubahan Cuaca

13/05/2026 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyarankan orang ramai yang menghadiri sambutan Hari Belia Negara 2026 di Sendayan, Negeri Sembilan pada Jumaat hingga Ahad ini supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca sepanjang program berlangsung.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, MetMalaysia memaklumkan secara amnya keadaan cuaca di Sendayan dijangka tiada hujan pada sebelah pagi dan malam, manakala hujan atau ribut petir berpotensi berlaku pada sebelah petang.

Jabatan itu menasihati orang ramai supaya membuat persediaan sewajarnya termasuk pengambilan air mencukupi, memakai pakaian yang sesuai dan selesa serta membawa payung atau baju hujan.

Orang ramai juga disarankan supaya sentiasa mengikuti ramalan dan amaran cuaca terkini daripada MetMalaysia bagi memastikan keselamatan dan kelancaran aktiviti sepanjang program itu berlangsung.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556319