GAYA HIDUP

Randai Macbeth Kembali Dipentaskan Di ASWARA

02/05/2026 03:16 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Selepas meraih kejayaan besar termasuk dinobatkan sebagai Best of 2024 di BOH Cameronian Arts Awards ke-20, teater Randai Macbeth kembali dipentaskan di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dari 8 hingga 10 Mei ini.

Randai Macbeth merupakan sebuah adaptasi daripada karya klasik popular William Shakespeare berjudul Macbeth yang diberikan nafas baharu oleh pengarah dan penulis lakon Dr Norzizi Zulkifli menerusi persembahan berkonsep silang budaya antara tradisi Minangkabau, Melayu dan teks klasik Barat.

Pementasan itu dianjurkan Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA (PuTRA) dan Persatuan Alumni ASWARA dengan kerjasama Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) Universiti Teknologi MARA (UiTM), bersempena dengan Festival Buka Panggung ASWARA yang berlangsung dari 4 hingga 22 Mei ini.

pic-2

Dekan PuTRA  ASWARA Mohd Kamarulzaman Taib, atau lebih mesra disapa sebagai Che Kem, berkata pementasan semula itu direalisasikan selepas menerima permintaan tinggi daripada khalayak susulan kejayaan pementasan pertama di Blackbox ASWARA pada 2024 yang mendapat perhatian media, penggiat dan peminat seni tanah air.

Beliau yang  juga penerbit teater Randai Macbeth, berkata usaha itu  bagi meraikan pencapaian pelajar dan alumni, selain memperkukuh kedudukan institusi tersebut dalam mengangkat seni tradisional.

“Pementasan ini bertujuan meraikan kecemerlangan pelajar dan alumni ASWARA serta mempromosi kredibiliti PuTRA sebagai institusi yang mengangkat kesenian tradisional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pementasan itu turut meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap seni teater tradisional selain menjadi platform pertukaran dan perkongsian kepakaran antara ASWARA dan UiTM dalam memartabatkan seni budaya bangsa.

pic-3

“Usaha ini juga membuka ruang untuk mempromosikan kesenian Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha mengangkat seni tradisional ke pentas kontemporari  kini berdepan cabaran termasuk perubahan selera masyarakat serta pengaruh teknologi yang mengubah cara karya seni dihasilkan dan difahami.

“Seni budaya sering dilihat sekadar sebagai alat tontonan dan tidak lagi mewakili pemikiran serta ketinggian peradaban bangsa. Keadaan ini menyebabkan ada yang merasakan seni budaya tidak lagi berfungsi dalam kehidupan, sebaliknya hanya untuk tujuan industri pelancongan dan hiburan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata usaha oleh PuTRA ASWARA, Persatuan Alumni ASWARA dan FiTA UiTM tertumpu pada melahirkan generasi yang bukan sahaja mengenali seni, malah celik  nilai budaya warisan bangsa.

pic-4

“Randai Macbeth menjadi wadah untuk memanifestasikan wawasan seni budaya yang sesuai dengan tuntutan khalayak baharu dan dunia hari ini,” katanya.

Pementasan itu menampilkan Che Kem sebagai Macbeth, Juhara Ayub sebagai Puan Macbeth dan Amir Ameezan sebagai Banquo. Persembahan  turut disertai Rosman Ishak, Eliza Mustafa dan Ijat Ashari sebagai ahli sihir, serta Adika Zainal sebagai Raja Duncan.

Selain Kuala Lumpur, Randai Macbeth turut menemui penonton di luar negara termasuk di The Esplanade On the Bay, Singapura dari 16 hingga 19 April lepas bersempena dengan Pesta Raya Singapore – The Malay Arts Festival, dan dijadualkan ke Kamal Teater and Academic, Kazan, Rusia pada 15 dan 16 Jun ini bersempena  Festival-Forum Teater dan Pendidikan (Nauruz) 2026.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552022