GAYA HIDUP

Kumpulan Wali Tebus Kecewa, Lengkapkan Konsert Penuh Emosi

02/05/2026 04:14 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Selepas meninggalkan rasa "tergantung" pada konsert RadjaWali Januari lalu, kumpulan Wali akhirnya menebus kekecewaan peminat menerusi Konsert Wali Kembali yang berlangsung penuh emosi di Stadium Hoki, Bukit Jalil pada Jumaat malam. 

Persembahan hampir dua jam tanpa henti itu bukan sekadar mengubat rindu, malah menjadi ruang meluahkan rasa buat ribuan penonton yang hadir, dengan tema pakaian putih bagi yang bujang dan hitam untuk pasangan, sekali gus mewarnai suasana malam penuh makna.

Seawal  5 petang, kawasan sekitar stadium sudah dipenuhi peminat dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan kumpulan popular Indonesia itu.

pic-2

Walaupun hujan lebat turun sebelum konsert bermula, situasi itu tidak mematahkan semangat peminat yang setia menunggu, dengan cuaca kembali reda seolah-olah memberi laluan kepada malam yang dinanti-nantikan.

Tepat 8.40 malam, Wali membuka tirai persembahan dengan sorakan gemuruh penonton, mencerminkan penantian panjang peminat, apatah lagi dengan deretan lagu popular yang mengimbau nostalgia.

Kumpulan yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard) membawakan 15 lagu ikonik termasuk Kekasih Halal, Cari Berkah, Si Udin Bertanya dan Nenek Pahlawanku.

pic-3

Mengimbas konsert terdahulu yang tidak dapat dihabiskan, Faank mengakui ada hikmah di sebalik kejadian itu apabila ia membuka ruang kepada pertemuan lebih bermakna kali ini.

“Masih mau lanjut lagi? Ya Allah begini banyak manusia (hadir) Ya Allah. Kami hamba-Mu Ya Allah, terima kasih banyak mengumpulkan kami di sini.

“Mudah-mudahan dengan asbab kami semua berkumpul di sini boleh menjadi sebuah silaturahim antara kita serta jadi asbab boleh terima syafaat daripada Rasulullah di akhirat kelak,” katanya, disambut sorakan penonton.

pic-4

Sepanjang konsert, Faank turut mengambil kesempatan berinteraksi dengan peminat selain berkongsi doa buat mereka.

“Ayuh kita doakan yang masih bujang dipertemukan jodoh yang baik, manakala yang berpasangan dikekalkan hubungan sehingga ke akhir hayat,” katanya yang disambut dengan "amin'  peminat.

Antara momen paling menyentuh hati ialah apabila lagu Doaku Untukmu Sayang dipersembahkan, menyaksikan seluruh stadium bertukar menjadi lautan cahaya lampu telefon pintar.

pic-5

Ada juga peminat yang dilihat mengalirkan air mata, terbawa-bawa dengan kesyahduan lirik yang menyentuh perasaan dan mengimbau kenangan peribadi.

Lagu-lagu seperti Tobat Maksiat, Yank, Aku Bukan Bang Toyib dan Cari Jodoh yang sebelum ini tidak sempat dipersembahkan akhirnya dinyanyikan di penghujung konsert, sekali gus melengkapkan momen yang tertangguh.

Kemunculan lagu-lagu berkenaan mencetuskan keterujaan apabila penonton bangun berdiri, menyanyi dan berjoget bersama-sama, seolah-olah melepaskan segala rasa yang terpendam sejak konsert sebelumnya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552044