AM

Malaysia Rakan Utama EU, Hubungan Semakin Diperkukuh - Duta

03/05/2026 10:59 AM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Malaysia ialah rakan kongsi utama Kesatuan Eropah (EU), dengan hubungan yang semakin diperkukuh, didorong oleh rundingan berterusan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA), kata Duta Besar EU ke Malaysia Rafael Daerr.

Beliau berkata EU dan Malaysia mempunyai pandangan yang sama dalam banyak hal, termasuk sebagai negara demokrasi yang bertenaga dan ekonomi pasaran berorientasikan perdagangan yang sangat bergantung dan menyokong undang-undang antarabangsa serta rangka kerja pelbagai hala berasaskan peraturan.

“Memandangkan perkembangan geopolitik dan geoekonomi yang lebih luas dan akibat kejutan, adalah lebih penting untuk mengukuhkan daya tahan, khususnya dengan mempelbagaikan rantaian bekalan dan mengukuhkan perkongsian perdagangan yang mampan dan saling menguntungkan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual yang diadakan sempena sambutan Hari Eropah pada 9 Mei.

Daerr berkata EU, sebagai pasaran tunggal terbesar di dunia yang mewakili kira-kira 16 peratus daripada ekonomi dunia, dengan hampir 450 juta pengguna dan kuasa beli yang tinggi, kini merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dan secara kumulatif serta sejarah antara pelabur terbesar di negara ini, mewujudkan lebih 150,000 pekerjaan dalam tempoh hanya dua dekad.

“Ekonomi kita saling berkait rapat dan berdasarkan statistik serta imbangan perdagangan yang positif, potensi peningkatan adalah lebih tinggi secara perbandingan dengan EU berbanding negara atau wilayah lain di dunia, di samping perdagangan intra-ASEAN yang kurang membangun,” katanya sambil menyatakan bahawa Malaysia kini merupakan rakan dagangan barangan ke-20 terbesar EU.

Menggambarkan persamaan antara saiz Malaysia dan Negara Anggota EU dari segi populasi dan ekonomi, duta itu menekankan kepentingan bekerjasama di persada dunia.

“Bayangkan sejenak bahawa Malaysia akan menjadi Negara Anggota EU: ia akan menjadi yang keenam terbesar dari segi saiz populasi dan pada masa ini yang ke-11 terbesar dari segi saiz ekonominya.

“...bagi negara bersaiz sederhana seperti itu, apabila berdepan cabaran bersama di pentas global, tiada alternatif yang berdaya maju selain bekerjasama dan bergabung tenaga untuk mempertahankan kepentingan kita,” katanya sambil menyatakan bahawa Malaysia ialah suara yang sangat penting dalam banyak forum termasuk ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurut Daerr, secara peribadi, beliau menganggap mewakili EU di negara seperti Malaysia berbaloi dan dan satu penghormatan kerana ia merupakan perkongsian dua hala yang penting dan berpotensi besar untuk pembangunan selanjutnya.

Ditanya mengenai MEUFTA, Daerr berkata kedua-dua pihak komited untuk mencapai persetujuan yang bercita-cita tinggi dan komprehensif, dan terdapat kemajuan yang baik.

"Kami telah mengadakan tiga pusingan rundingan dalam tempoh 10 bulan lepas. Pusingan keempat dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 12 Jun di Kuala Lumpur, dengan pasukan EU akan ke sini," katanya sambil menambah bahawa matlamatnya adalah untuk memuktamadkan rundingan sebelum ulang tahun ke-50 hubungan ASEAN-EU pada musim luruh (suku akhir) 2027.

"Niat kami adalah untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan keseluruhan. Melihat cita-cita politik yang kukuh di kedua-dua pihak di peringkat tertinggi dan dedikasi pasukan perunding di kedua-dua pihak, saya sangat optimis bahawa kami akan mencapai persetujuan yang akan memberikan manfaat besar untuk kedua-dua pihak," kata Daerr.

Sempena sambutan Hari Eropah di Malaysia, yang akan diadakan pada 11 Mei, duta itu menekankan ia peluang untuk mengukuhkan semula dan meraikan kepentingan kerjasama serta perkongsian yang boleh dipercayai dan boleh diramal.

Beliau berkata sambutan itu akan menghimpunkan Negara Anggota EU dan rakan kongsi dalam kerajaan dan institusi lain, masyarakat sivil serta komuniti antarabangsa dan perniagaan untuk mengucapkan terima kasih atas sumbangan mereka dalam menguatkan kerjasama EU-Malaysia.

Daerr berkata Hari Eropah ialah sambutan bersama oleh kesemua 27 Negara Anggota EU iaitu 17 daripadanya mempunyai kedutaan di Malaysia, manakala 10 mempunyai utusan bertauliah ke Malaysia dari negara lain.

“Sebagai ‘Team Europe’, kami sangat teruja untuk bekerjasama dalam dan dengan Malaysia, terutamanya memandangkan hubungan itu mempunyai potensi besar untuk diperkukuh lagi dalam banyak bidang, bermula dengan perdagangan dan pelaburan bersama, termasuk dalam bidang utama seperti semikonduktor, hijau dan teknologi masa depan yang lain, malah juga di luar bidang ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552178