Oleh Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 3 Mei (Bernama) -- Remaja berusia 18 tahun Eusoff Azman berterima kasih kepada ibunya kerana berpeluang menunaikan haji pada usia muda hasil perancangan wanita itu sejak dirinya masih bayi.
Anak muda berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu berkata ibunya telah membuka akaun simpanan dan mendaftarkan namanya dengan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2008.
“Terima kasih mak. Kalau bukan kerana mak mula menyimpan dan merancang sejak saya masih kecil, mungkin saya tidak sampai ke sini hari ini. Alhamdulillah, tahun ini nama saya dipanggil (untuk menunaikan ibadah haji).
“Apabila sampai di Tanah Suci, baru saya benar-benar faham mak bukan sekadar merancang masa depan saya di dunia, tetapi juga sudah memikirkan perjalanan akhirat sejak saya bayi,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Eusoff, antara jemaah haji termuda Malaysia musim 1447H/2026M menyifatkan peluang menunaikan haji secara sendirian pada usia muda sebagai pengalaman paling bermakna, terutamanya ia kali pertama dia menjejakkan kaki ke luar negara tanpa ditemani keluarga.
Anak keempat daripada enam beradik itu berkata ibu bapa serta beberapa adik-beradiknya telah menunaikan fardu haji, sebelum gilirannya tiba tahun ini, hasil budaya menabung sejak kecil.
Walaupun tanpa kehadiran waris, bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC) itu tidak pernah berasa terasing kerana dikelilingi rakan sebilik yang jauh lebih berusia yang telah dianggap seperti keluarga sendiri.
“Saya paling muda dalam kumpulan kerana rakan sebilik dalam lingkungan 50-an dan 60-an. Mereka melayan saya seperti anak sendiri, sentiasa mengambil berat dan bertanya sudah makan atau sudah kembali ke bilik atau belum.
“Di sini saya bukan sahaja belajar tentang ibadah, tetapi juga tentang kehidupan, cara menghormati orang tua dan nilai persaudaraan,” katanya.
Eusoff berkata berada di Tanah Suci pada usia muda juga mengingatkannya tentang pengorbanan ibu bapanya yang konsisten menyimpan sedikit demi sedikit demi memastikan impian untuk dia menjadi tetamu Allah menjadi kenyataan.
Remaja itu juga berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada ibu bapa muda lain untuk mula merancang perjalanan haji anak seawal mungkin.
“Mungkin anak tidak faham sekarang tetapi suatu hari nanti mereka akan sedar kasih sayang ibu bapa bukan sekadar membesarkan kita, tetapi juga menyediakan jalan untuk sampai ke Baitullah,” katanya.
-- BERNAMA